PM Sepanyol 'bangga' solidariti rakyat untuk Palestin di Vuelta

PM Sepanyol ‘bangga’ solidariti rakyat untuk Palestin di Vuelta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADRID: Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez pada Ahad menyatakan rasa bangga terhadap protes pro-Palestin yang menggegarkan Vuelta a Espana, apabila demonstrasi besar-besaran menanti peringkat akhir perlumbaan di Madrid.

Protes yang menyasarkan pasukan Israel-Premier Tech berhubung perang berdarah di Gaza itu mengganggu beberapa peringkat satu daripada tiga jelajah besar berbasikal dan menimbulkan keraguan sama ada perlumbaan 21 hari itu boleh ditamatkan.

Protes itu memaksa beberapa peringkat dipendekkan dan pada masa tertentu menyebabkan pelanggaran apabila penunjuk perasaan menceroboh laluan, sekali gus mengundang kritikan kerana mengancam keselamatan pelumba serta mencalar imej Sepanyol.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam kenyataan pertamanya mengenai isu tersebut, Sanchez menegaskan beliau menghormati para atlet, namun turut mengagumi rakyat Sepanyol yang bangkit membela perjuangan yang adil seperti Palestin.

“Sepanyol hari ini bersinar sebagai contoh dan sumber kebanggaan, menjadi teladan kepada masyarakat antarabangsa dengan langkah ke hadapan dalam mempertahankan hak asasi manusia,” katanya ketika berucap di perhimpunan Parti Sosialis di Malaga.

Beberapa menteri kerajaan berhaluan kiri turut secara terbuka menyokong gerakan tersebut di sebuah negara yang sememangnya terkenal dengan solidariti terhadap perjuangan Palestin.

Pihak berkuasa meningkatkan kawalan keselamatan menjelang peringkat akhir di Madrid dengan menugaskan 1,100 anggota polis, selain memendekkan laluan perlumbaan.

Pada Sabtu, penunjuk perasaan sempat menceroboh kawalan keselamatan yang dipertingkatkan dan cuba menghalang laluan ketika peringkat separuh akhir di pergunungan Guadarrama, di pinggir Madrid, memaksa pelumba mengelak daripada berlanggar.

Sementara itu, ketua parti pembangkang konservatif Popular Party, Alberto Nunez Feijoo mengecam insiden tersebut di platform X, dengan menyifatkannya sebagai imej yang memalukan.

“Daripada menteri menggalakkannya, kerajaan sepatutnya mengecam, menolak dan menghalangnya,” katanya. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×