Warisan umum calon tanpa PKR - Utusan Malaysia

Warisan umum calon tanpa PKR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dalam keadaan DAP ‘berlembut’ menggunakan logo Parti Warisan Sabah (Warisan) sebagai tanda solidariti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bersama UPKO dan Amanah, PKR terus berkeras untuk bertanding menggunakan logo mereka.

Malah, solidariti parti di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu tidak diperlihat apabila tiada penyokong PKR yang hadir ketika majlis pengumuman calon Warisan dibuat hari ini.

Bagaimanapun, terdapat ahli parti tersebut yang hadir tanpa mengenakan pakaian korporat PKR, antaranya bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api-Api, Datuk Christina Liew dan Ahli Parlimen Putatan, Awang Husaini Sahari.

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam majlis berkenaan mengumumkan 46 calon Warisan yang kebanyakannya adalah muka baharu, sementara UPKO pula meletakkan 12 calon pada PRN kali ini.

Bagi PKR sebelum ini yang mengumumkan mahu bertanding di 14 kerusi DUN, hanya diperuntukan sebanyak tujuh kerusi kepada parti itu.

DAP pula bertanding di tujuh kerusi.

Mohd. Shafie berkata, jumlah itu adalah munasabah berdasarkan persetujuan bersama gabungan Warisan Plus yang terdiri daripada PKR, UPKO, DAP dan Amanah.

Keputusan itu diumumkan semasa Majlis Pelancaran Visi dan Misi Warisan Plus dan Pengumuman Calon Warisan Plus pada PRN DUN Sabah, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, Sabah, hari ini.

Mohd. Shafie menyifatkan keputusan pengumuman itu bukan sesuatu yang mudah kerana beliau berdepan pelbagai cabaran dalam menentukan calon yang layak untuk bertanding pada PRN Sabah.

“Saya sudah lihat dan baca setiap maklumat calon bermula dari aspek pendidikan dan kesihatan mereka. Saya sudah boleh nampak gambarannya,” katanya

Dalam senarai calon yang dikemukakan, beberapa pimpinan lama ditampilkan semula menjadi calon, antaranya Datuk Darrel Leiking, Datuk Mohammadin Ketapi, Datuk Peter Anthony dan Datuk Dr. Jaujan Sambakong.

Nama Ketua Wira Warisan, Datuk Azis Jamman turut menjadi perhatian apabila tidak dicalonkan untuk bertanding pada PRN kali ini.
– UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya