KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyifatkan penyalahgunaan ketum dalam kalangan masyarakat kini semakin parah apabila digunakan secara berleluasa terutama di negeri-negeri utara Semenanjung.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ramli Din berkata, pihaknya mendapati ketum kini disalahgunakan bukan sahaja atas tujuan ‘perubatan’ malah dipercayai untuk kegunaan seks.
Lebih membimbangkan, jelasnya, tujuan tersebut turut menyebabkan orang ramai beralih kepada ketum dan penggunaan secara tidak terkawal mampu menjadikan seseorang itu ketagih.

“Jika dahulu ketum digunakan sebagai bahan bagi membantu penagih heroin mengurangkan simptom withdrawal seperti sakit sendi dan sebagainya namun kini digunakan atas alasan ‘suka-suka’. Ini sangat membimbangkan kerana tidak mustahil individu itu akan terjerumus dengan penyalahgunaan dadah lain.
“Jadi, isu ketum kini hangat diperbincangkan sama ada patut diletakkan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 atau dikekalkan di bawah peruntukan sedia ada iaitu Akta Racun 1952,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Dalam perkembangan sama, Ramli melahirkan kebimba-ngan terhadap penyalahgunaan dadah sintetik new psychoactive substances atau bahan psikoaktif baharu (NPS) yang mula dikesan pada 2016.
Mengulas lanjut, ujar beliau, JSJN mendapati penyalahgunaan dadah sintetik itu berkembang dengan begitu pesat di seluruh dunia.
“Pada tahun 2009, hanya 109 dadah jenis NPS berada dalam pasaran di seluruh dunia namun kini kira-kira 950 jenis yang dikenal pasti di 120 negara.
“Di Malaysia pula setakat ini Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia telah menjadualkan sebanyak 44 jenis NPS di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952,” katanya. – UTUSAN










