SANDAKAN: Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid hari ini mengadakan tinjau mesra atau walkabout di Pasar Raya Besar Mydin Sandakan.
Ia bagi meninjau sejauh mana maklum balas rakyat Sandakan terhadap Kempen Beli Barangan Malaysia dan Program Jualan Malaysia 2020.
Dalam tinjauan itu, Rosol berpuas hati dengan sambutan orang ramai terhadap kempen itu dengan tempat letak kereta di Mydin penuh dan orang ramai berbaris panjang untuk memasuki pasar raya di samping semuanya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.
Itu memberi gambaran yang sangat positif terhadap pemulihan ekonomi negara terutama dalam sektor peruncitan.
Untuk kempen itu, Mydin menyediakan rak dan ruangan khas di pintu masuk pasar raya untuk usahawan Sandakan memasarkan produk tempatan daerah ini seperti sambal, kerepek, dan sebagainya.
Di samping itu terdapat juga jenama Mydin sendiri seperti minyak masak, tisu dan minuman dengan harga patut yang dapat mengurangkan perbelanjaan dan kos sara hidup pengguna.
Ketika ditanya berkenaan potensi produk sejuk beku keluaran Sabah, Rosol berkata, beliau akan meminta pegawai kementerian dan agensi berkaitan membantu usahawan Sabah dalam pembungkusan, pemprosesan dan pemasaran terutama hasil laut negeri ini yang terkenal murah dan segar. – UTUSAN