Remaja 19 tahun terlibat samun bersenjata - Utusan Malaysia

Remaja 19 tahun terlibat samun bersenjata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang remaja berusia 19 tahun antara empat lelaki ditahan polis kerana dipercayai terlibat dalam kejadian samun berkumpulan bersenjata di Jalan Cengkerik, Tampoi di sini Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd. Wahid berkata, kesemua suspek yang berusia antara 19 tahun hingga 37 tahun itu diberkas dalam tiga serbuan di sekitar Johor Bahru Utara minggu ini.

“Polis merampas tiga unit telefon bimbit, dua buah kereta, tiga helai baju, pelitup muka dan sebilah pisau lipat serta wang tunai RM45 dipercayai baki hasil samun.

“Hasil siasatan awal mendapati kesemua suspek mengaku melakukan samun berkumpulan bersenjata di Jalan Cengkerik,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Rupiah berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati tiga daripada empat suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, Rupiah berkata, pihaknya menahan dua lelaki berusia 27 tahun di Seri Alam dan Johor Bahru Utara.

Katanya, kedua-dua suspek ditahan pada pukul 12.40 tengah malam Khamis lalu kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pecah rumah di Bandar Baru Uda, Tampoi di sini.

“Ekoran tangkapan ini, polis merampas dua unit beg dan dua komputer iba serta sebuah kereta Perodua Viva yang dipercayai digunakan untuk melakukan kegiatan itu.

“Hasil semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah,” katanya.

Katanya, kes pertama disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan manakala kes kedua pula di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya