fbpx

Polis berkas lelaki tipu pelaburan penapis haba

  • Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED
  • 16 September 2020, 8:02 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Taktik seorang lelaki yang memperdaya mangsa berhubung pelaburan penapis haba tingkap rumah sejak empat tahun lalu berakhir apabila diberkas polis, kelmarin.

Difahamkan, suspek berusia 33 tahun itu kononnya menjanjikan pulangan pelaburan tinggi, sebaliknya menghilangkan diri bersama wang mangsa.

Kegiatan itu bagaimanapun memakan diri apabila suspek ditahan sepasukan polis di sekitar Telok Panglima Garang, Kuala Langat pada pukul 1.44 petang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohd. Khairi Shafie berkata, penahanan itu dilakukan hasil laporan seorang juruteknik kilang yang mendakwa turut diperdaya suspek pada hujung 2016.

“Mangsa yang juga lelaki berusia 33 tahun itu membuat iklan di internet untuk mencari rakan niaga bagi menambah pendapatan pada 11 Disember.

 “Dia kemudian menerima pesanan menerusi aplikasi Whatsapp daripada suspek yang menawarkan pelaburan penapis haba tingkap rumah dan berminat menyertainya kerana dijanjikan pulangan sebanyak 30 peratus,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut beliau, mangsa seterusnya melakukan empat transaksi pembayaran berjumlah RM8,500 ke dalam akaun suspek.

“Namun, selepas membuat pembayaran itu, mangsa tidak menerima pulangan yang dijanjikan dan suspek turut gagal dihubungi,” katanya.

Ujar Mohd. Khairi, bertindak atas hasil maklumat dan siasatan, pihaknya berjaya menahan suspek bagi membantu siasatan.

“Semakan mendapati suspek memiliki lapan rekod jenayah lampau melibatkan kes penipuan.

“Siasatan lanjut bagaimanapun sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai membuat semakan secara terperinci sebelum melakukan sebarang transaksi dan pembayaran.

“Semakan boleh dilakukan melalui http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ bagi melihat sama ada akaun itu pernah disiasat atau sebaliknya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

BERITA BERKAITAN