MELAKA: Ketiadaan peraturan khusus dan cukai berkaitan terhadap perkhidmatan hospitaliti dalam talian, Airbnb berbanding perkara sama yang dikenakan kepada sektor perhotelan perlu diselesaikan segera.
Langkah itu bagi memastikan konsep berlaku adil antara kedua-dua perniagaan tersebut dapat diaplikasikan, selain dilihat sebagai aspek yang berpotensi membantu pemulihan ekonomi negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pemain industri hotel menanggung beban impak pandemik Covid-19 yang lebih tinggi berbanding Airbnb yang tidak terikat dengan mana-mana peraturan khusus.
“Jadi, kalau satu komponen dikenakan pelbagai peraturan, satu sektor lagi tidak tertakluk kepada sebarang peraturan, sudah pasti ini tidak adil.
“Kita akan bantu sampaikan input-input kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali yang ditugaskan mengetuai jawatankuasa khas bagi mengatasi kerenah-kerenah begini agar keputusan segera dapat dicapai,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Makan Malam dan Sesi Libat Urus Industri Pelancongan: Sebelum dan Selepas Covid-19 di sini, malam tadi.
Yang turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali; Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri, Datuk Saiful Anuar Lebai Hussen dan Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Negara, Tan Sri Dr. Azlan Ghazali.
Mengulas lanjut, Mustapa berkata, perbincangan di peringkat akhir sedang diadakan antara Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan dan kerajaan-kerajaan negeri berhubung perkara itu.
“Pelbagai isu dibangkitkan antaranya soal pendaftaran dan kawalan terhadap Airbnb kerana saya dimaklumkan di Melaka misalnya bukan satu dua rumah yang melakukan perniagaan menerusi Airbnb tetapi beratus unit dalam sesuatu kawasan perumahan,” katanya.
Sebelum ini, Persatuan Hotel Malaysia (MAH) menggesa pelaksanaan peraturan lebih ketat dilakukan terhadap Airbnb dan perkhidmatan ‘home-sharing’ yang serupa.
Menurut persatuan itu, mereka tertakluk kepada peraturan keselamatan, pemeriksaan ketat dan harus memasang alat pengesan asap serta ciri-ciri keselamatan lain sementara pengusaha Airbnb tidak perlu melakukannya.
Kata MAH lagi, penyedia Airbnb juga sepatutnya membayar lesen, permit dan cukai seperti pengusaha hotel bagi memastikan persaingan setara antara penyedia hospitaliti berkenaan.-UTUSAN










