Penduduk bina sendiri 'menara telekomunikasi' - Utusan Malaysia

Penduduk bina sendiri ‘menara telekomunikasi’

V.Barathidhasa (kir) membantu Siti Nor Dalilawati Syahril (bertudung) mendapatkan akses internet di Kampung Ladang UP, Bukit Selambau, semalam. -FOTO: SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Setelah sekian lama berdepan dengan masalah mendapatkan akses internet, penduduk di Ladang UP Bahagian Bukit Selambau di sini mengambil inisiatif membina ‘menara telekomunikasi’ mereka sendiri.

Kawasan estet kelapa sawit tersebut yang juga dikenali sebagai Kampung Kongsi 14 yang terletak kira-kira 20 kilometer dari bandar ini didiami kira-kira 170 orang penduduk.

Seorang penduduk, V.Barathi­dasa, 26, berkata, penduduk membina ‘menara’ yang berupa tiang itu sejak lima tahun lalu selepas lama menanti kemudahan internet di kawasan itu.

Menurutnya, mereka bukan sahaja tidak mempunyai akses internet malah talian telefon juga sukar didapati menyebabkan pelbagai kesukaran kepada penduduk terutamanya ketika kecemasan.

Mengimbau kepayahan mereka sebelum ini, Barathidasa yang juga bekas graduan Universiti Malaya (UM) berkata, dia dan rakannya terpaksa pergi ke kawasan perumahan lain yang terletak sejauh lima kilometer bagi mendapatkan akses internet.

“Setiap kali balik ke rumah kalau ada urusan berkaitan universiti, saya bersama rakan yang turut tinggal di ladang ini terpaksa pergi ke taman perumahan terdekat iaitu Taman Kelisa Ria untuk mendapatkan akses internet.

“Kami juga terpaksa pergi ke kawasan bukit yang lebih tinggi untuk mendapatkan internet dan dari situ kami mendapat idea untuk membuat tiang te­lekomunikasi ini.

Menurutnya, menara itu dibina dengan memasang tiang yang tinggi dan meletakkan modem internet tanpa wayar di puncaknya bagi membolehkan penduduk sekitar mendapat akses internet.

“Kami akan pasang modem menerusi langganan RM85 hingga RM100 sebulan dan dalam tempoh lima tahun ini kami terpaksa menukar modem sebanyak lima kali kerana rosak akibat terdedah kepada cuaca panas dan hujan selain rosak akibat terjatuh ke­rana diganggu monyet.

“Modem dan pengecas mudah alih diletakkan dalam baldi yang bertindak sebagai pelin­dung dan dinaikkan ke puncak tiang bersama Jalur Gemilang sebelum dihubungkan dengan telefon pintar,” jelasnya.

Katanya, terdapat lima tiang ‘menara telekomunikasi’ telah dipacak penduduk di sini dan kos bagi setiap satunya adalah sekitar RM100 hingga RM300 bergantung kepada ketinggian tiang.

Katanya, tiang paling tinggi di situ dimiliki keluarga abangnya,yang bekerja sebagai pengusaha ternakan ayam, Gobinath Rajendran, 31, dengan ketinggian kira-kira 12 meter.

“Abang saya seorang peniaga dan memerlukan internet untuk urusan perniagaan selain untuk kegunaan anaknya yang masih belajar,” katanya.

Seorang lagi penduduk yang juga pelajar kolej, Siti Nor Dalilawati Syahril, 20, berkata, dia menghadapi kesukaran untuk menghantar tugasan yang diminta pensyarah secara atas talian.

Katanya, dia terpaksa keluar ke pekan Sungai Petani dan duduk di kedai makan selama dua hingga tiga jam sehari untuk menyiapkan tugasan kolej.

“Sudah beberapa kali markah saya dipotong kerana tugasan yang di hantar lewat sampai kepada pensyarah kerana dan perkara ini sedikit sebanyak menjatuhkan semangat dan emosi saya,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN