Pekerja pijak isi kelapa buat kerisik - Utusan Malaysia

Pekerja pijak isi kelapa buat kerisik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TASEK GELUGOR: Kotor dan menjijikkan. Itu gambaran selepas kelibat seorang pekerja di sebuah kilang memproses kelapa dilihat memijak isi buah tersebut yang dijemur untuk dijadikan kerisik.

Pekerja itu yang juga seorang lelaki warga asing bagaimanapun cuba melarikan diri selepas melihat kehadiran beberapa anggota Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan negeri dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Ketua Unit Cawangan Pe­nguatkuasaan BKKM, Mohd. Wazir Khalid berkata, pemeriksaan lanjut mendapati, keadaan di kilang memproses kelapa itu agak kotor dan berbau.

Selain itu, katanya, kedudukan tandas pekerja pula bersebelahan dengan longgokan kelapa yang telah dikupas selain menggunakan sumber air sama untuk kegunaan tandas dan membersihkan isi kelapa.

“Kilang ini dikesan sudah lama beroperasi tanpa lesen dengan menggaji pekerja asing yang tidak memiliki suntikan vaksin antitifoid,” katanya selepas mengetuai Op Tegar di beberapa buah premis di sekitar Tasek Gelugor, di sini semalam.

Selain kilang memproses kelapa itu, sebuah lagi kilang iaitu kilang memproses mi sanggul diperiksa selepas risikan selama hampir dua minggu dibuat.

Mohd. Wazir berkata, premis kilang itu dibina tidak jauh dari ladang khinzir dan mi yang diproses dibiarkan berselerak serta bertaburan di atas lantai dalam keadaan kotor dan dipenuhi lalat.

“Kilang ini pernah diperiksa pada 2012 namun pemiliknya masih berdegil dan tidak memiliki lesen walaupun beroperasi untuk tempoh agak lama,” katanya.

Tambah beliau, kedua-dua kilang termasuk sebuah kedai runcit diberikan notis untuk menutup operasi selama dua minggu bagi kerja-kerja pembersihan di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983.

Sementara itu, katanya, secara keseluruhan, sebanyak 16 kompaun berjumlah sehingga RM20,000 dikeluarkan terhadap ketiga-tiga premis tersebut atas pelbagai kesalahan.

Katanya, ia termasuk berkaitan penyimpanan dan penyusunan makanan serta kebersihan premis.

MBSP yang turut serta dalam operasi itu pula mengeluarkan dua notis bersama tiga kompaun bernilai RM500 terhadap pemilik premis berkenaan atas beberapa kesalahan berkaitan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya