PIHAK kerajaan perlu memberi pertimbangan untuk mewujudkan sebuah kerangka undang–undang baharu khusus bagi atasi masalah buli dalam negara kita. Sebarang usaha yang ingin diambil tanpa adanya peruntukan undang–undang yang lebih berkesan tidak akan membawa sebarang kesan yang positif.
Bagi membendung kegiatan buli dari berterusan berlaku khususnya di sektor pendidikan seperti di sekolah dan universiti, pihak kerajaan boleh meminda sebarang peruntukan undang–undang sedia ada seperti Akta Pendidikan 1996 [Akta 550] ataupun mewujudkan terus sebuah ‘Akta Anti-Buli’.
Pihak kerajaan boleh membuat rujukan terhadap peruntukan undang–undang yang ada di United Kingdom dan Amerika Syarikat terhadap isu ini. Dengan adanya sebuah peruntukan undang-undang, semua pihak dalam negara kita akan mengambil serius terhadap isu buli ini serta mengelakkan diri mereka daripada terjebak dengan kegiatan buli. Melalui peruntukan undang-undang ini juga ia boleh memastikan setiap tempat memiliki polisi anti-buli yang lebih jelas, seragam dan sesuai.
Dengan adanya undang-undang khusus terhadap perkara ini juga, hukuman setimpal dapat diberikan kepada mana–mana pihak yang didapati melakukan kesalahan buli serta gagal membendung kegiatan buli.
Isu buli tidak boleh dipandang dengan sebelah mata sahaja serta hanya diberi perhatian jika berlaku sesuatu insiden buli seperti yang berlaku baru–baru ini.
Ia memerlukan komitmen tinggi daripada semua pihak, baik pensyarah, guru, ibu bapa atau pelajar itu sendiri bagi memastikan semua institusi pendidikan dalam negara kita menjadi gedung ilmu dan bukannya tempat untuk melahirkan generasi samseng. Perbuatan membuli, sama ada untuk berseronok atau kerana benci tidak sepatutnya menjadi amalan biasa atau budaya yang menunjangi institusi pendidikan negara. – UTUSAN
DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)










