PASIR GUDANG: Pejabat MCA Cawangan Pasir Gudang di sini telah disimbah cat merah dalam satu kejadian di Taman Johor Jaya, pada bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Ismail Dollah berkata, malah turut ditinggalkan sekeping nota tulisan Bahasa Cina dipercayai berunsurkan ugutan.
“Sejurus polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada 16 Ogos lalu, kita telah melakukan siasatan dan memburu dalang suspek kejadian ini.
“Akhirnya kita kita berjaya menjejaki tiga lelaki dipercayai terlibat dengan jenayah ugutan serta menyimbah cat itu dan mereka ditahan polis di Negeri Sembilan Jumaat lalu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ismail memaklumkan, tangkapan pada pukul 12.30 tengah hari itu dibuat sepasukan pegawai dan anggota Cawangan D7 Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam.
Katanya lagi, tiga lelaki itu berusia 29 hingga 46 tahun.
“Siasatan awal dijalankan pihaknya mendapati ketiga-tiga suspek memiliki rekod jenayah lampau melibatkan kes jenayah dan dadah.
“Ketiga-tiga suspek kini dikenakan tahanan reman manakala kes masih disiasat,” tambahnya.









