Mansuh keputusan kurangkan penjawat awam - CUEPACS - Utusan Malaysia

Mansuh keputusan kurangkan penjawat awam – CUEPACS

ADNAN MAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan digesa memansuhkan keputusan yang dibuat oleh kerajaan sebelum ini untuk mengurangkan jumlah penjawat awam sebanyak lima peratus secara berfasa.

Keputusan mengurangkan jumlah kakitangan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini dalam sektor tertentu sebanyak dua peratus setahun sehingga 2021 menerusi Dasar Pengurangan Penjawat Awam ketika itu dilihat tidak realistik dengan keperluan perkhidmatan.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Ceupacs), Adnan Mat berkata, pengurangan itu tidak relevan apabila Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah pun meluluskan pengisian jawatan-jawatan kosong termasuk kategori jawatan yang tidak diisi.

Menurut beliau, pengisian jawatan-jawatan itu satu keperluan bukan sahaja bagi mengisi keperluan perkhidmatan tetapi juga memberi peluang kepada anak-anak muda yang berkelayakan berkhidmat dalam kerajaan.

“Ketika ini 80 hingga 95 peratus  jawatan diisi dalam pelbagai sektor, jadi tidak ada lebihan petugas sebaliknya kekurangan kerana jawatan-jawatan itu kosong.

“Harus diingat bahawa keperluan untuk sumber tenaga manusia dalam perkhidmatan awam sememangnya diperlukan bagi melaksanakan sistem yang menyokong kepada perkhidmatan yang diberi,” katanya.

Beliau ditemui pada Mesyuarat Agung Tri-Tahunan Kesatuan Kakitangan Kumpulan Sokongan Hal Ehwal Islam (Kesoja) Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) di sini hari ini.

Majlis dirasmikan oleh Pengarah JAIPk, Datuk Yusop Husin.

Adnan turut meminta kerajaan memberi pertimbangan khas untuk mengambil semula penjawat awam berstatus kontrak yang diberhentikan sebelum ini seterusnya dipertimbangkan bagi mengisi jawatan-jawatan kosong secara tetap.

Kata beliau, golongan itu pernah berkhidmat dalam Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Seranta Felda yang dibubarkan oleh kerajaan sebelum ini sehingga berlaku pengabaian dalam soal kebajikan.

“Cuepacs pada dasarnya sudah bincang dalam mesyuarat sekretariat pegawai dan kami menyokong penuh usaha-usaha untuk mengembalikan pekerjaan mereka terdahulu.

“Dalam sektor-sektor tertentu pula, sentuhan atau keterlibatan secara langsung daripada penjawat awam masih diperlukan oleh rakyat,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN