Lembaga pengarah 1MDB tidak pernah bersetuju - Shahrol Azral - Utusan Malaysia

Lembaga pengarah 1MDB tidak pernah bersetuju – Shahrol Azral

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini hari ini diberitahu lembaga pengarah 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) tidak pernah bersetuju untuk memindahkan wang berjumlah AS$ 699.3 juta daripada anak syarikatnya, Energy Holdings Ltd. kepada syarikat Aabar palsu yang ditubuhkan di Seychelles.

Anak syarikat sebenar International Petroleum Investment Company (IPIC) yang berpangkalan di Abu Dhabi itu adalah Aabar Investments PJS.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata, ahli lembaga pengarah 1MDB juga tidak pernah diberi penerangan atau diminta persetujuan berhubung pemindahan wang tersebut.

Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan dalam perbicaraan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa berhubung penyelewengan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela, Wan Aizuddin Wan Mohammed, saksi itu memberitahu terdapat dua transaksi pemindahan dijalankan pada 2014.

Peringkat pertama ialah pada 3 September 2014 membabitkan AS$233,333,000 manakala AS$457,984,607 dipindahkan pada 30 September tahun sama.

AS$699.3 juta itu dikatakan sebahagian daripada pinjaman AS$1.225 bilion yang diberikan oleh Deutsche Bank Singapura kepada 1MDB Energy Holdings antara Mei dan Ogos 2014.

Pemindahan itu dilakukan ke akaun Aabar di bank Switzerland UBS.

Wan Aizuddin (WA): Adakah lembaga pengarah 1MDB pernah memberi taklimat mengenai transaksi ini?

Shahrol Azral (SA): Tidak.

WA: Apakah kelulusan diminta oleh pengurusan (1MDB) untuk melakukan pemindahan?

SA: Tidak.

Ketika disoal, Wan Aizuddin bertanya sama ada Shahrol Azral menyedari terdapat dua entiti Aabar yang diperbadankan di British Virgin Islands (BVI) dan di Seychelles yang palsu, saksi itu mengatakan beliau hanya mengetahui mengenai perkara tersebut ketika ditunjukkan dokumen semasa siasatan.

Saksi bagaimanapun tidak memberi sebarang jawapan apabila peguam bela itu bertanyakan sama ada Aabar dari Seychelles berkenaan mempunyai kaitan dengan Aabar dari Abu Dhabi.

Saksi hanya memberitahu beliau tidak mempunyai pengetahuan langsung mengenai dokumen-dokumen yang berkaitan syarikat itu.

Sementara itu, sebelum prosiding berakhir, peguam bela utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu pihak pembelaan dijangka menyelesaikan pemeriksaan balas terhadap Shahrol tengah hari esok.

Shahrol Azral merupakan saksi paling lama memberi keterangan iaitu sejak 23 September 2019.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Ahmad Akram Gharib kemudian memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan hanya memerlukan sekitar tiga jam untuk melakukan pemeriksaan semula terhadap Shahrol.

Prosiding di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah disambung semula esok pagi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya