Lapan termasuk enam sekeluarga ditahan edar dadah - Utusan Malaysia

Lapan termasuk enam sekeluarga ditahan edar dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Tindakan enam sekeluarga yang terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah sejak dua bulan lalu tidak bertahan lama apabila kesemua mereka ditahan kelmarin.

Turut ditahan dalam serbuan berasingan ialah dua individu lain yang dipercayai pembekal dadah kepada keluarga tersebut di dalam sebuah kereta jenis Perodua Viva di tepi sebuah hotel.

Kesemua suspek termasuk dua wanita berusia 17 tahun hingga 52 tahun itu ditahan dalam tempoh kurang dari empat jam bermula 7.30 malam di Persiaran Hamzah Alang dan Jalan Batu 5 di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohd. Khairi Shafie berkata, polis melakukan serbuan hasil maklumat awam dan risikan pihaknya terhadap kegiatan pengedaran dadah di daerah ini.

Ketika serbuan dilakukan, katanya, enam sekeluarga itu sedang berehat di rumah mereka.

“Kita menjalankan pemeriksaan dan menemukan bekas kertas bersaiz A4 yang mengandungi sebuah beg plastik lutsinar berisi bahan ketulan dan serbuk kristal disyaki syabu seberat 146 gram.

“Nilai dadah yang dirampas ini dianggarkan bernilai RM14,600. Siasatan awal mendapati kesemua suspek ini terlibat dengan sindiket pengedaran dadah sejak dua bulan lalu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd. Khairi berkata, siasatan lanjut membawa kepada penahanan dua lelaki yang merupakan pembekal dadah kepada keluarga tersebut.

“Pemeriksaan dalam kenderaan menemukan sampul surat mengandungi sebuah lagi beg plastik lutsinar disyaki syabu seberat 200 gram bernilai RM20,000 di dalam kenderaan tersebut.

“Kita turut menyita wang tunai RM1,000 disyaki hasil penjualan dadah berkenaan. Harga sepeket syabu seberat 0.5 gram pada harga pasaran semasa boleh mencecah sehingga RM150,” ujarnya.

Jelasnya lagi, semakan terhadap kesemua suspek mendapati dua daripada mereka yang ditahan mempunyai rekod berkaitan dadah dan jenayah lampau.

“Kesemua mereka direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya