Kluster Pulau pula dikesan di Sabah - Utusan Malaysia

Kluster Pulau pula dikesan di Sabah

DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penularan wabak Covid-19 di Sabah semakin membimbangkan apabila satu lagi kluster baharu dikesan di negeri itu semalam.

Dinamakan Kluster Pulau, ia yang dikesan di Kunak adalah kes indeks seorang wanita warga Malaysia berusia 68 tahun.

Kes tersebut adalah antara 23 kes baharu Covid-19 yang dikesan sehingga tengah hari semalam menjadikan jumlah kes positif sebanyak 9,969 kes.

Daripada 23 kes baharu tersebut, 13 kes adalah penularan tempatan di Sabah manakala 10 kes import mendapat jangkitan di luar negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes indeks kluster baharu (kes ke-9,940) ditemukan tidak sedarkan diri di rumahnya dan dibawa ke Hospital Tawau bagi rawatan serangan jantung, strok dan penyakit hati.

“Saringan Covid-19 didapati positif pada 13 September dan warga emas itu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan.

“Hasil saringan kontak rapat dan pengesanan kes aktif, lapan kes positif Covid-19 dikesan membabitkan ahli keluarga kes indeks.

“Sehingga hari ini (semalam) sejumlah 128 individu telah di­saring dalam kluster ini terdiri daripada 109 warga Malaysia dan 19 warga asing,” katanya dalam sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di sini semalam.

Beliau berkata, susulan itu, langkah pencegahan penularan jangkitan seperti proses nyah kuman dan pembersihan telah dijalankan di lokasi yang dikenal pasti.

“Punca jangkitan masih dalam siasatan dan aktiviti mengawal penularan jangkitan bagi kluster ini giat dijalankan di lapangan,” katanya.

Noor Hisham berkata, pihaknya bersedia menjalankan ujian saringan Covid-19 secara besar-besaran di Sabah membabitkan Tawau, Lahad Datu dan Kunak dalam masa terdekat.

“Dianggarkan seramai 20,000 individu akan terlibat dalam saringan tersebut,’’ katanya.

Dalam pada itu, kes tempatan semalam turut membabitkan Kluster Benteng LD di Sabah dengan empat kes baharu menjadikan jumlah kes positif sebanyak 424 kes dalam kluster tersebut.

Selain itu, katanya, satu lagi kes penularan tempatan ialah kes saringan dari Hospital Semporna ke Hospital Tawau.

Pada masa sama, beliau berkata, satu lagi kluster tamat semalam iaitu Kluster Maju menjadikan kluster ke-97 ditamatkan pemantauannya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya