Kemelut Osman dianggap selesai - Utusan Malaysia

Kemelut Osman dianggap selesai

Osman Sapian
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAKRI : Kemelut status keahlian bekas Menteri Besar, Datuk Osman Sapian dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dianggap selesai susulan kenyataan balas Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Lembaga Disiplin parti semalam.

Pengerusi Bersatu Johor, Mazlan Bujang berkata, konflik itu disifatkan beliau telah berakhir dengan kedudukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas tersebut masih kekal sebagai wakil rakyat Bersatu.

“Saya tidak perlu ulas sebab semalam dah ada kenyataan balas daripada Pengerusi Lembaga Disiplin bahawa Osman masih lagi ahli Bersatu. 

“Malah, sehingga ke hari ini saya selaku ketua negeri juga tidak menerima sebarang surat daripada Setiausaha Agung bahawa Osman terkeluar daripada parti atau sebagainya.

“Jadi, saya anggap perkara ini sudah selesai dan tidak perlu kita perbahaskan lagi daripada berpanjangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri Program Semarak Kasih Merdeka di Balai Raya Parit Karim, Ayer Hitam Batu 18, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon dan Ketua Bersatu Bahagian Bakri, Mahadzir Abu Said.

Menurut Mazlan, pihaknya yakin bekas pemimpin negeri itu akan terus kekal bersama parti demi mengukuhkan kedudukan Bersatu di Johor.

“Beliau masih lagi wakil rakyat Bersatu yang akan sama-sama membantu membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam negeri,” katanya.

Semalam, Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas memaklumkan, Osman masih ahli Bersatu dengan pihaknya masih belum mengambil sebarang tindakan terhadapnya termasuk menamatkan keahlian.

Sementara itu, mengulas mengenai keyakinan rakyat terhadap Bersatu, Mazlan akui menerima maklum balas positif susulan penyertaan keahlian yang begitu memberangsangkan.

“Gelombang keluar parti sebelum ini merupakan perkara biasa kerana adanya sedikit perpecahan. Cuma jumlah keluar tu tak adalah membimbangkan.

“Tapi, ia bukanlah satu masalah besar kerana jumlah yg masuk ni pun adakala tak cukup borang di peringkat bahagian. Sekarang pun kita masih lagi menunggu borang baru dari persekutuan untuk diagihkan kepada bahagian.

“Malah, saya tak nampak pun peratus yang keluar, yang ada pun terlucut keahlian. Sebab sehingga ke hari ini saya tidak menerima satu surat rasmi pun berhubung keluar parti. Jadi saya anggap itu perkara biasalah dalam asam garam politik bila ada sedikit perpecahan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.