JOHOR BAHRU: Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad boleh menerima nasib seperti rakan sejawatnya dari Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sekiranya 12 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ‘balas dendam’ mengusulkan undi percaya kepada pemimpin berkenaan.
Bekas Menteri Besar, Datuk Osman Sapian (gambar) berkata, nasib dialami Ahmad Faizal itu mengguris perasaan pemimpin dan akar umbi Bersatu di seluruh negara kerana usul percaya tersebut gagal mendapat sokongan majoriti ADUN Perak termasuk wakil rakyat UMNO sendiri.
“Lebih-lebih lagi Ahmad Faizal merupakan Timbalan Presiden Bersatu, sudah tentu mengguris perasaan kami selaku ahli parti. Saya sendiri selepas mendengar berita ini amat terkejut dan sedih sedangkan kita bersama lebih lapan bulan membentuk kerajaan Persekutuan dan negeri.
“Kalau ikutkan, boleh jadi balas dendam dengan melakukan perbuatan sama dilakukan wakil rakyat Bersatu kepada Menteri Besar daripada UMNO. Namun saya tidak mahu ulas benda ini lebih-lebih kerana saya bukan kepimpinan negeri.
“Kita tengok dahulu sama ada ia boleh berlaku di Johor atau sebaliknya. Namun segalanya terserah kepada keputusan kepimpinan parti sama ada di peringkat pusat dan negeri yang diketuai oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Osman yang juga Ketua Bahagian Bersatu Ayer Hitam mengulas kegagalan Ahmad Faizal mendapat sokongan majoriti daripada ADUN Perak dalam undi usul percaya terhadap beliau hari ini.
Dalam undian daripada 59 ADUN, sebanyak 48 undi menolak usul percaya itu berbanding 10 yang menyokongnya manakala satu undi rosak atau berkecuali.
ADUN Kempas itu memandang serius perkara tersebut kerana sikap hormati-menghormati sudah tiada dalam Kerajaan PN.
Kedudukan Hasni sebagai Menteri Besar akan ditentukan menerusi pengundian Belanjawan Johor 2021 dalam Sidang DUN Johor pada Ahad ini.
DUN Johor kini memiliki 56 kerusi dengan agihan sebelum ini adalah UMNO dan DAP masing-masing 14, Bersatu (12), MIC (dua), PAS (satu), Amanah (9) dan PKR (empat).
Ini menjadikan kerajaan PN mempunyai 29 kerusi berbanding Pakatan Harapan (PH) 27 kerusi. Majoriti mudah ialah 29 kerusi. -UTUSAN










