Elak kebakaran seperti di HKL: Usah lengah baik pulih hospital usang - Utusan Malaysia

Elak kebakaran seperti di HKL: Usah lengah baik pulih hospital usang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu melaksanakan segera penambahbaikkan hospital usang dan daif atau berdepan risiko kebakaran yang lebih teruk pada masa depan.

Perkara itu ditegaskan Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat (Ikatan) Tan Sri Lee Lam Thye yang menyifatkan isu hospital usang sebagai serius dan perlu dititikberatkan Kementerian Kesihatan.

Selain itu, katanya, kerajaan perlu menyediakan peruntukan khas bagi memastikan ke­selamatan pesakit di hospital.

“Seperti yang kita tahu ada banyak hospital usang perlu diberi perhatian terutama dalam aspek penyelenggaraan membabitkan pendawaian elektrik,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Kebakaran membabitkan hospital usang pernah dilaporkan sebelum ini termasuk kejadian terbaru di Hospital Kuala Lumpur (HKL), semalam.

Lee Lam Thye

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, sekurang-ku­rangnya 46 hospital berusia le­bih 50 tahun di seluruh nega­ra dikenal pasti sebagai daif dan ‘uzur’ yang berisiko jika berla­ku kejadian tidak diingini ter­utama kebakaran.

Sementara itu, kebakaran stor penyimpanan fail HKL semalam dipercayai berpunca daripada sistem pendawaian.

Menurut sumber jabatan bomba dan penyelamat, siasatan awal mendapati wayar yang disambung ke kipas ekzos bilik tersebut bermasalah sehingga mengeluarkan haba sebelum terbakar.

“Bagaimanapun, ia siasatan awal. Kita perlu menunggu keputusan sampel yang dianalisis.

“Pihak forensik juga berada di lokasi kejadian untuk menyi­asat kemungkinan-kemungkinan lain,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Hospital Kuala Lumpur, Datuk Dr. Heric Corray berkata, kejadian tersebut tidak menjejaskan perkhidmatan HKL.

Menurutnya, kejadian kebakaran disedari apabila Bilik Kawalan dan Pusat Panggilan Hospital dimaklumkan mengenai bunyi penggera kebakaran yang dikesan daripada alat pengesan asap.

“Semasa kebakaran, beberapa wad berdekatan dikosongkan dan pesakit dikeluarkan untuk tujuan kese­lamatan. Cawangan Forensik dari Ja­batan Bomba dan Penyelamat (JBPM) menjalankan siasatan selepas api dipadamkan sebelum mengisytiharkan api di­padamkan sepenuhnya.

“Pesakit serta petugas kembali ke wad masing-ma­sing pada pukul 12.48 tengah malam selepas keadaan selamat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN