Dewan Negara bukan ‘batu loncatan’ politik peribadi - Rais Yatim - Utusan Malaysia

Dewan Negara bukan ‘batu loncatan’ politik peribadi – Rais Yatim

RAIS Yatim mengendalikan persidangan Dewan Negara, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Institusi Dewan Negara tidak seharusnya menjadi ‘batu loncatan’ kepada ahli-ahlinya untuk mendapatkan laba daripada hal-hal berkaitan politik peribadi.

Perkara itu ditegaskan Yang Dipertua Dewan Negara Ke-18, Senator Tan Sri Dr. Rais Yatim yang mengangkat sumpah jawatan semalam.

Beliau berkata, meminimumkan persoalan politik dalam Dewan berkenaan akan memudahkan Parlimen menyelami keperluan masyarakat dan memberi keutuhan kepada hujah kedaulatan undang-undang.

“Kalau ahli Dewan Negara, mereka itu adalah khusus diangkat oleh Yang di-Pertuan Agong dan dilantik sebagai senator. Maka hal-hal berhubung de­ngan politik peribadinya harus diminimumkan.

“Ini lebih mudah bagi kita mencari jalan bagaimana untuk menyarankan bahawa Dewan Negara itu adalah dewan terting­gi dan tidak menjadi batu loncatan kepada politik peribadi,” katanya dalam sidang akhbar di bangunan Parlimen semalam.

Rais, 78, dipilih bagi menggantikan Tan Sri S.A. Vigneswaran yang bersara pada 22 Jun lalu selepas menewaskan seorang lagi calon, Senator Mohd. Yusmadi Mohd. Yusoff.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan mengemukakan usul Perdana Menteri, Tan Sri Muhyid­din Yassin yang mencalonkan Rais manakala Senator Dr. Ahmad Azam Hamzah pula bertindak mencadangkan Mohd. Yusmadi.

Berlaku sedikit kekecohan apabila Senator Nga Hock Cheh bangun mengemukakan Peraturan Mesyuarat untuk mempertikai usul oleh Perdana Menteri atas alasan pelantikannya tidak teratur disebabkan beliau bukan seorang ahli Dewan Negara.

Mengulas perkara itu, Rais berkata, perkara yang dibangkitkan Hock Cheh disifatkan sebagai hujah idealisme dan bukannya sesuatu yang substantif.

Jelasnya lagi, salah satu daripada sumber undang-undang Perlembagaan adalah konven­syen iaitu amalan yang telah berjalan sekian lama dan dite­rima sebagai petua boleh dihormati dan dipakai.

“Semenjak kita merdeka, Perdana Menteri lah yang mengemukakan calon yang Dipertua Dewan Negara. Jadi, konvensyen ini sudah berjalan dengan begitu baik,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN