KUALA TERENGGANU: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi bercadang membina 20 unit rumah menggunakan teknologi sistem binaan berindustri (IBS) berasaskan kenaf di seluruh 222 kawasan Parlimen.
Menterinya, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, penggunaan teknologi baharu yang mesra alam itu dijangka membabitkan kos keseluruhan sebanyak RM222juta bagi pembinaan 4,440 unit kediaman.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata, buat permulaan sebanyak tiga unit rumah IBS kenaf bakal dibangunkan di kawasan Parlimennya sebagai sampel pelaksanaan projek berkenaan.
“Perkara ini masih di peringkat cadangan dan saya akan berbincang dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dahulu. jika dipersetujui, pembangunannya akan menggunakan peruntukan di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) .
“Secara tidak langsung usaha ini dapat mengembangkan lagi penggunaan IBS kenaf dalam negara kerana teknologi ini terbukti sangat baik, sistematik, lebih tahan lasak, menjimatkan masa dan kos di samping mesra alam,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menutup Kursus Pengenalan Keusahawanan IBF Kenaf Terengganu di Hotel Paya Bunga (PB) di sini hari ini.
Yang hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Operasi), Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN), Idris Mohd. Salleh.
Kursus sehari anjuran LKTN itu bertujuan mendedahkan kumpulan sasar dalam sektor pembinaan dengan penggunaan dan pemasangan IBS kenaf di negeri yang berpotensi besar dan berdaya saing untuk dibangunkan.
Mohd. Khairuddin berkata, pembinaan rumah IBS kenaf sebelum ini dirintis di Muar, Johor dan Melaka di samping projek terbaharu membabitkan penglibatan pihak swasta di Hulu Langat, Selangor.
Katanya, sehingga 31 Julai lalu, sebanyak 285.2 hektar kawasan di negeri ini dibangunkan dengan tanaman kenaf yang melibatkan seramai 178 pengusaha.
“Tahun ini kita menyasarkan sebanyak 2,000 hektar kawasan penanaman kenaf baharu dan sedang bergerak ke arah itu termasuk mencari tapak bersesuaian bagi meluasakan tanaman kenaf termasuk di Terengganu dan Pahang,” katanya. – UTUSAN ONLINE










