Tuntutan palsu: Pembantu akauntan dipenjara, denda - Utusan Malaysia

Tuntutan palsu: Pembantu akauntan dipenjara, denda

ROSLAN Al Sidek Sulaiman dibawa ke lokap mahkamah selepas dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan denda RM70,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh, Perak semalam. UTUSAN/SHAARANI ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang bekas pembantu akauntan bernasib baik apabila hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 bulan walaupun Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman penjara selama 168 bulan atas kesalahan membuat tuntutan palsu.

Hakim S. Indra Nehru juga menjatuhkan hukuman denda RM70,000 terhadap tertuduh yang mengaku bersalah terhadap 14 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu antara tahun 2014 dan 2015.

Roslan Al Sidek Sulaiman, 40, yang bertugas sebagai Pembantu Akauntan di Cawangan Kejuruteraan Mekanikal Jabatan Kerja Raya (JKR) Ipoh didakwa menggunakan dokumen palsu bagi membuat tuntutan keseluruhan berjumlah RM75,438.70.

Tertuduh yang dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan denda RM5,000 bagi setiap satu pertuduhan dengan jumlah ke­seluruhan 168 bulan penjara dan RM70,000 bagaimanapun, bernasib baik kerana mahkamah memerintahkan hukuman dijalankan secara serentak bermula semalam dan hanya perlu menjalani hukuman 12 bulan penjara.

Roslan didakwa membuat tuntutan palsu atas nama tiga syarikat iaitu Musmar Enterprise, Aladdin Emas Enterprise dan Mizie Auto Enterprise dengan menggunakan invois dan pesanan penghantaran bagi pembelian bahan petroleum iaitu petrol, diesel dan minyak pelincir.

Dia dituduh mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 468 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan dikenakan denda.

Prosiding dikendallikan Tim­balan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azmi Yusuf manakala tertuduh tidak diwa­kili peguam.

Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya memohon kepada mahkamah supaya mengenakan hukuman yang ringan ke­rana tidak mempunyai sumber pendapatan lain, menghidap penyakit sirosis hati selain perlu menanggung tiga anak berusia 11 hingga 19 tahun, manakala isteri tidak bekerja.

Azmi bagaimanapun memohon mahkamah supaya mengenakan hukuman setimpal kepada tertuduh kerana ia membabitkan kerugian kepada kerajaan.

Mahkamah turut memerin­tahkan tertuduh dihukum penjara tambahan sebulan bagi setiap kesalahan atau 14 bulan penjara jika gagal membayar denda ditetapkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya