KUBANG PASU: Sebahagian ibu bapa di kawasan terlibat Perintah Kawalan Pergerakan Peningkatan Bersasar (Temco) di sini mengambil tindakan awal dengan tidak membenarkan anak mereka ke sekolah selepas mengetahui tentang penularan Covid-19 Kluster Sivagangga pada 28 Julai lalu.
Tindakan tersebut diambil bagi mengelakkan anak mereka terdedah kepada Covid-19.
Penduduk Kampung Kubang Betong di Napoh, Rokiah Awang, 54, berkata, dua anak perempuannya bersekolah di tingkatan dua dan empat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hosba.
“Saya bimbang dengan penularan Covid-19 ini, jadi saya nasihatkan dua anak saya iaitu Siti Aisyah Nasir, 14, dan Nurul Najwa, 16, itu bercuti lebih awal,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Napoh semalam.
Sementara itu, Nurul Najwa yang belajar di sekolah yang sama berkata, dia mengambil cuti awal selepas mengetahui penularan Covid-19 bagi kluster Sivagangga.
“Bagaimanapun, saya selepas itu mendapat makluman daripada media sosial mengenai penutupan sekolah,” katanya.
Seorang penghuni Taman Seri Hosba, Saiful Yusri, 43, berkata, dia juga menasihati anaknya yang belajar di SMK Hosba dan Sekolah Kebangsaan (SK) Hosba supaya mengambil cuti sekolah lebih awal.
“Bukannya apa, saya bimbang kerana sudah ada kluster di kawasan Napoh ini memandangkan kedai nasi kandar yang dikaitkan dengan penularan Covid-19 di sini terletak berhampiran dengan kawasan perumahan saya,” katanya.
Sementara itu, Nurul Najwa yang juga belajar di SMK Hosba berkata, dia mengambil cuti awal selepas mengetahui penularan virus itu.
Sementara itu, Muhammad Faris Md. Yusoff, 29, pula berkata, keputusan kerajaan menutup sekolah di kawasan Temco bertepatan memandangkan sekolah-sekolah berkenaan terletak dalam kawasan penularan penyakit berkenaan.
Lima buah sekolah ditutup selama 28 hari di dua buah daerah di negeri ini berikutan 11 kes aktif Covid-19 bagi Kluster Sivagangga di negeri ini. – UTUSAN










