Mohd. Hafarizam hadapi tiga lagi pertuduhan - Utusan Malaysia

Mohd. Hafarizam hadapi tiga lagi pertuduhan

MOHD. Hafarizam Harun (tengah) keluar dari kamar Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tidak sampai sejam dilepaskan daripada dua pertuduhan pengubahan wang haram, penasihat undang-undang UMNO, Datuk Mohd. Hafarizam Harun didakwa sekali lagi atas tiga tuduhan menerima wang haram RM15 juta daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Peguam terbabit mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Azman Ahmad selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 9 September ini.

Mahkamah turut menetap­kan­ jaminan sebanyak RM200,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan tertuduh untuk menyerahkan pasportnya untuk disimpan mahkamah.

Terdahulu di Mahkamah Tinggi, pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ishak Mohd. Yusoff memohon peguam tersebut dilepaskan tanpa dibebaskan daripada dua tuduhan dihadapi sebelum ini atas alasan pertuduhan sebelum ini cacat.

“Pertuduhan cacat kerana ia melibatkan dua transaksi berbeza. Kedua-dua transaksi perlu dipisahkan untuk menjadi tuduhan baharu yang bera­singan,” ujarnya.

Kes di Mahkamah Tinggi sepatutnya mula dibicarakan semalam di hadapan Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali.

Mengikut pertuduhan baharu, Mohd. Hafarizam didakwa menerima cek AmIslamic Bank Berhad bernilai RM7.5 juta milik Najib yang merupakan hasil aktiviti haram dan mendepositkan cek terbabit dalam akaun pelanggan firma guamannya, Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak pada 17 April 2014.

Tertuduh juga didakwa menerima cek bernilai RM4 juta yang merupakan hasil aktiviti haram daripada Ahli Parlimen Pekan itu pada 12 November 2014.

Bagi pertuduhan ketiga, Mohd. Hafarizam didakwa menerima cek bernilai RM3.5 juta daripada Najib yang merupakan hasil aktiviti haram di antara 22 Januari dan 12 Februari 2015.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut mengikut Subseksyen 4(1)(a) dan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara antara lima dan 15 tahun serta denda RM5 juta atau lima kali ganda hasil aktiviti wang haram atau yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya