GEORGETOWN: Mayat seorang pemuda yang terjatuh dari Kilometer 2.2 Jambatan Pulau Pinang di sini Ahad lalu ditemukan pagi tadi selepas hampir 48 jam operasi menyelamat dijalankan.
Mayat R. Peregelathan, 24, ditemukan dalam keadaan terapung di Pengkalan Raja Uda, Weld Quay di sini kira-kira pukul 10.15 pagi.
Anggota pasukan Bomba dan Penyelamat Negeri kemudiannya membawa mayat pemuda yang berasal Johor itu ke Pengkalan Marin di Batu Uban.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah , Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, proses sanitasi Covid-19 telah dilakukan ke atas mayat lelaki terbabit oleh kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut .
“Mayat lelaki itu kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Pulau Pinang untuk siasatan lanjut,” katanya di sini sebentar tadi.
Pada 23 Ogos lalu, Peregelathan dilaporkan terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang menghala ke Perai kira-kira pukul 8 malam.
Dia dipercayai telah meninggalkan sebuah kereta jenis Perodua Bezza berwarna merah dan telefon bimbit di tepi jambatan terbabit.