Maut angkara telefon bimbit - Utusan Malaysia

Maut angkara telefon bimbit

BAHARUDIN MAT TAIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Hanya kerana telefon bimbit, seorang pengawal keselamatan sambilan maut dipercayai dipukul dengan kayu di taman permainan perumahan Ken Rimba, Seksyen 16 di sini, Isnin lalu.

Dalam kejadian pukul kira-kira pukul 11.30 malam itu, mangsa, Muhamad Riduan Abdul Samat, 27, disahkan meninggal dunia di Hospital Shah Alam (HSA).

Kakak mangsa yang enggan dikenali berkata, kejadian itu tidak seharusnya berlaku kerana adiknya hanya ke lokasi kejadian bagi menyelesaikan isu berkaitan telefon bimbit berkenaan dengan cara baik.

“Semasa kejadian berlaku, penduduk pangsapuri ini telah meleraikan pergelutan namun pelaku bertindak luar kawalan dengan mengambil kayu sebelum memukul adik saya sebanyak dua kali di bahagian belakang badan.

“Kami tidak akan memaafkan pelaku kerana tindakannya kejam dan tidak bertimbang rasa,” dakwanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, kejadian berlaku apabila mangsa dihubungi anak saudaranya yang mendakwa telefon adik kandungnya dirampas oleh rakannya dikenali ‘Kak Long’ dengan alasan berhutang dengan wanita tersebut.

Menurutnya, selepas menghubungi mangsa, anak saudaranya ke taman permainan itu untuk berjumpa dengan wanita tersebut untuk berbincang.

“Tidak lama kemudian, mangsa tiba di lokasi sama sebelum mengajak keluarga ‘Kak Long’ berbincang menyelesaikan perkara tersebut dan dalam masa sama menunggu kehadiran wanita terbabit.

“Bagaimanapun, berlaku pertengkaran dan pergelutan antara adik lelaki wanita terbabit dengan mangsa. Ahli keluarga wanita terbabit yang datang dari arah belakang bertindak memukul belakang badan mangsa menggunakan kayu yang diambil daripada but kenderaan,” katanya di sini semalam.

Tambah beliau, mangsa yang dipukul mengalami sesak nafas dan meminta anak saudaranya mengambil ubat sakit jantungnya di rumah.

Namun, katanya, sejurusselepas tiba di lokasi kejadian, anak saudaranya mendapati mangsa tiada dan dimaklumkan dihantar ke hospital.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di hospital oleh doktor sebelum anak saudaranya membuat laporan polis,” katanya.

Katanya, polis menahan lima suspek berusia 14 tahun hingga 37 tahun kelmarin bagi membantu siasatan.

“Hasil siasatan mendapati kejadian berpunca daripada seunit telefon bimbit milik anak saudara mangsa yang diambil oleh salah seorang daripada keluarga suspek,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya