Lelaki Rohingya mengaku tidak bersalah rasuah pegawai Maritim Malaysia - Utusan Malaysia

Lelaki Rohingya mengaku tidak bersalah rasuah pegawai Maritim Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang lelaki etnik Rohingya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memberi rasuah sebanyak RM7,000 kepada pegawai kanan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di Langkawi dekat sini, bulan lalu.

Mohd. Shabo Mohd. Hussin, 35, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Mengikut kertas pertuduhan, dia bersama seorang individu lain, Noor Kalam Soyut Alam didakwa memberi rasuah wang tunai RM7,000 kepada Pegawai Kanan Penguat Kuasa Maritim Malaysia Kedah/Perlis, Mohd. Faizal Ahmad di Restoran Faathirah Tomyam and Seafood di Padang Matsirat, Langkawi kira-kira pukul 1 pagi, 21 Julai lalu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan sebagai dorongan kepada pegawai kanan Maritim Malaysia terbabit untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap penyeludupan masuk seramai 25 pendatang asing tanpa izin (PATI) etnik Rohingya melalui jalan laut.

Penyeludupan PATI itu didakwa menyalahi Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007.

Pendakwaan terhadap Mohd. Shabo dilakukan mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Tan Sew Ping menawarkan jaminan RM20,000 dengan dua penjamin warga Malaysia serta memohon tertuduh melaporkan diri di SPRM sebanyak dua kali sebulan.

Peguam mewakili tertuduh, Badrul Munir Bukhari bagaimanapun memohon jaminan rendah memandangkan tertuduh hanya bekerja sebagai penjual makanan ringan dan buah-buahan di Pulau Pinang selain mempunyai isteri dan seorang anak.

“Tertuduh juga mempunyai sejarah sakit jantung dan ketika ini perlu mendapatkan rawatan pada kakinya yang cedera semasa ditahan di Langkawi sebelum ini,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM15,000 dengan dua penjamin warga Malaysia serta perlu melapor diri di pejabat SPRM dua kali sebulan. Tertuduh membayar jaminan tersebut.

Mahkamah menetapkan 27 September ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya