300 Pemimpin C-Suite Bakal Tangani Jurang Kepimpinan AI Malaysia di Summit of Titans II - Utusan Malaysia

300 Pemimpin C-Suite Bakal Tangani Jurang Kepimpinan AI Malaysia di Summit of Titans II

Futurefirst Solutions kembali dengan Summit of Titans II pada 9 Jun untuk mentakrifkan semula kepimpinan dalam era AI bersama tokoh industri global.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelan hala tuju kecerdasan buatan (AI) negara terus diperkasakan apabila usaha dilakukan bagi membincangkan kesiapsiagaan kepimpinan dalam era itu.

Langkah itu bagi memastikan pemimpin yang ada bukan sekadar memahami teknologi AI sebaliknya cukup berani untuk memimpin era transformasi berkenaan.

Untuk itu 300 eksekutif kanan negara bakal berhimpun di Summit of Titans bagi menangani jurang tersebut. Persidangan anjuran Futurefirst Solutions Sdn Bhd pada 9 Jun di New Ocean World, Petaling Jaya dan hanya melalui jemputan.

Program berkenaan menghimpunkan tokoh perniagaan kanan negara dan eksekutif tertinggi yang mengurus puluhan ribu pekerja di syarikat multinasional terbesar serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Malaysia, termasuk pengurus besar, pengarah urusan dan ketua pegawai sumber manusia.

Pengasas bersama Futurefirst Solutions, Shankar Nagalingam berkata era AI memerlukan bentuk kepimpinan yang berbeza.

“Era AI tidak akan dimenangi oleh mereka yang sekadar memahami teknologinya, sebaliknya oleh mereka yang cukup berani untuk memimpin melaluinya,” katanya.

Sidang kemuncak itu bertujuan memperkasa pembuat keputusan kanan dengan keupayaan yang diperlukan untuk memimpin organisasi dalam menghadapi perubahan pesat didorong AI, di samping memperkukuh kerjasama, proses membuat keputusan dan kesiapsiagaan kepimpinan merentas industri.

Program yang berlangsung dari 9 pagi hingga 12.30 tengah hari itu akan dirasmikan oleh Pengerusi SIRIM Bhd yang juga Pro-Canselor Universiti Sains Malaysia, Tan Sri Datuk Seri Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali.

Pakar strategi AI, penulis dan penceramah TEDx, Profesor Keith Carter pula akan menyampaikan ucaptama mengenai keupayaan kepimpinan yang diperlukan dalam dunia dipacu AI.

Sesi itu akan diteruskan dengan panel rentas industri yang menampilkan ASEAN Lead di IBM, Catherine Lian; Presiden Semiconductor Industry Association of Singapore, Ang Wee Seng; serta pengasas Binacap, Sunderaj Nagalingam.

Antara acara utama ialah The Titans’ Fireside, sesi perbualan spontan 20 minit antara Pengurus Besar Dell Technologies, Andy M dan Pengurus Besar Experian, Chua Chai Peng.

Sesi berkenaan dijangka membincangkan sama ada AI mampu menggantikan 30 peratus tenaga kerja korporat dalam tempoh 24 bulan, serta sejauh mana pemimpin kanan benar-benar bersedia menghadapi realiti tersebut dalam organisasi masing-masing.

Sementara itu, pengasas bersama, Dr Chanthiran Veerasamy berkata masa untuk terus menunggu sudah berlalu. “Menunggu untuk melihat bagaimana AI berkembang bukan lagi satu strategi. Pemimpin yang bertindak sekarang akan menentukan hala tuju industri masing-masing, manakala selebihnya hanya akan mengikut,” katanya.

Sidang kemuncak itu turut menyaksikan pelancaran rasmi TARANTULA TRAIL, sebuah inisiatif kepimpinan baharu oleh Futurefirst Solutions. Treler sinematik berkaitan inisiatif tersebut akan ditayangkan pada hari acara, selain kedua-dua pengasas bersama berkongsi perjalanan pembangunan projek berkenaan bersama para hadirin.

Summit of Titans II menyusuli penganjuran edisi pertama yang mendapat sambutan memberangsangkan dalam kalangan pemimpin kanan. Penganjuran kali kedua ini hadir ketika AI semakin berkembang daripada sekadar program perintis kepada teras operasi perniagaan di seluruh Malaysia.

Pendaftaran sidang kemuncak itu yang turut ditaja bersama oleh UOA Academy dan Technomech adalah secara eksklusif di sini. Dengan AI terus mengubah cara syarikat di Malaysia beroperasi, penganjur berkata persoalannya kini bukan lagi sama ada pemimpin perlu bertindak, tetapi sama ada mereka sudah pun bersedia. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN