PETALING JAYA: Pengendali interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe perlu mempamerkan magisnya di Piala ASEAN FIFA 2026 untuk mengintai jawatan tetap bersama skuad kebangsaan.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) jelas mahu skuad kebangsaan mara ke pentas final kejohanan berkenaan dan jika Berjaya direalisasikan, pastinya ia menjadi berita gembira buat semua.
Presiden baharu FAM, Datuk Ab Ghani Hassan, mengakui Cheng Hoe masih berpeluang untuk dipertimbangkan bagi jawatan berkenaan sekiranya keputusan positif dilakar pada kejohanan yang berlangsung di Indonesia itu.
Bagaimanapun, Ab Ghani turut memberi bayangan bahawa badan induk itu turut mahu melihat pendekatan dan wajah baharu dalam membentuk hala tuju skuad kebangsaan.
“Ya, boleh bagi peluang. Tapi kadang-kadang kita perlukan satu benda yang baru juga untuk kita bawa. Tetapi kalau Cheng Hoe boleh menunjukkan prestasi yang amat baik, itu boleh kita tengok macam mana kelak,” kata Ab Ghani.
Situasi itu secara tidak langsung meletakkan Piala ASEAN FIFA 2026 sebagai platform penting buat Cheng Hoe, yang kini memikul tanggungjawab sebagai jurlatih sementara selepas pemergian Peter Cklamovski pada Jun lalu.
Cheng Hoe sebelum ini pernah mengendalikan skuad negara dari penghujung 2018 hingga Januari 2022 dan membawa Malaysia sehingga ke final Piala AFF 2018 sebelum tewas kepada Vietnam secara agregat 2-3.
Lebih menarik, beliau kini kembali mengemudi pasukan kebangsaan dalam kapasiti berbeza selepas berkhidmat sebagai Pengarah Teknikal Skuad Kebangsaan sejak April 2025 sebelum mengambil alih tugas ketua jurulatih secara interim.
Justeru, kejayaan di Indonesia nanti bukan sahaja akan menentukan sejauh mana kemampuan Cheng Hoe skuad negara, malah boleh menjadi antara faktor yang dinilai FAM sebelum membuat keputusan mengenai kedudukannya.
Piala ASEAN FIFA 2026 yang berlangsung dari 25 September hingga 5 Oktober ini menyaksikan Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama tuan rumah Indonesia, Singapura dan Bangladesh.
Skuad negara dijadual membuka kempen menentang Bangladesh di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta pada 25 September sebelum berdepan Indonesia dan Singapura dalam aksi kumpulan seterusnya.
Format pertandingan menyaksikan juara setiap kumpulan mara ke final divisyen 1, sekali gus menjadikan saingan peringkat kumpulan amat penting buat Malaysia jika mahu merealisasikan sasaran beraksi di final.-UTUSAN











