JAKARTA: Hubungan antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan kekal baik dan profesional susulan keputusan Lembaga Pengampunan berkaitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) kekal berpendirian bahawa undang-undang perlu dipatuhi, selain menghormati keputusan yang dibuat oleh Lembaga Pengampunan selaras dengan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan.
Beliau berkata, sebarang keputusan yang dibuat oleh Jemaah Menteri pula merupakan keputusan secara kolektif, justeru perkara berkenaan tidak menjejaskan urusan pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
Ahmad Zahid berkata, pendirian UMNO dan BN mengenai perkara itu adalah jelas, termasuk memastikan segala aspek yang melibatkan sebarang perlakuan yang melanggar undang-undang perlu dipatuhi.
Katanya, hubungan antara parti dalam Kerajaan Perpaduan bagaimanapun kekal baik kerana semua pihak memahami peranan masing-masing dalam menguruskan pentadbiran kerajaan.
“Hubungan tetap baik dan biarpun kami ahli-ahli politik tetapi di dalam menguruskan hal ehwal kerajaan, kita bertindak secara profesional dan itu tidak ada sebarang masalah.
“Semua keputusan yang dibuat oleh Jemaah Menteri adalah keputusan yang dibuat secara kolektif, manakala hubungan peribadi setakat ini, Alhamdulillah, cukup baik,” katanya
katanya dalam sidang akhbar bersama wartawan Malaysia selepas sesi lawatan kerja tiga hari beliau ke Jakarta di sini hari ini.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib dengan membenarkan beliau menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028.
Menurut Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri, pengampunan bersyarat itu yang diputuskan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-64 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya di Istana Negara, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta pematuhan syarat ditetapkan sepanjang tempoh tahanan di rumah.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, apa yang diputuskan oleh Lembaga Pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong adalah keputusan yang terikat dengan beberapa klausa di dalam Perlembagaan Malaysia.
Apa yang diputuskan oleh Lembaga Pengampunan, yang diputuskan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong, adalah keputusan yang terikat dengan beberapa klausa di dalam Perlembagaan Malaysia dan tentunya Tuanku telah mengambil perkiraan bahawa aspek perundangan menjadi panduan terhadap keputusan pengampunan.
“Jika mana-mana pihak yang mempertikaikan keputusan Tuanku Agong, ertinya ia tidak selari dengan perkara-perkara yang termaktub di dalam Perlembagaan dan UMNO serta BN sendiri berpendirian bahawa undang-undang itu harus dipatuhi.
“Pendirian itu adalah jelas sebagaimana kenyataan-kenyataan yang pernah saya keluarkan sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata, sebagai anggota Kerajaan Perpaduan, prinsip ketatasusilaan terus dijaga selagi parti-parti berkenaan berada dalam kerajaan.
“Sebagai anggota di dalam Kerajaan Perpaduan, prinsip ketatasusilaan itu tetap kami jaga selagi kami berada di dalam Kerajaan Perpaduan Malaysia ini,” katanya. – UTUSAN











