PETALING JAYA: Penguatkuasaan tidak konsisten serta kekeliruan sistem pelesenan di peringkat pihak berkuasa berpotensi menjejaskan keberkesanan Akta Kawalan Produk Merokok demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
Pusat Pilihan Pengguna (CCC) berkata, keadaan itu berpunca daripada kelemahan penyelarasan antara Kerajaan Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan, selain ketiadaan garis panduan yang jelas dan seragam.
Katanya, situasi berkenaan bukan sahaja menjejaskan pelaksanaan dasar, malah boleh membuka ruang kepada aktiviti tidak terkawal serta melemahkan kredibiliti penguatkuasaan.
“CCC menegaskan bahawa Akta 852 memerlukan strategi pelaksanaan yang terkoordinasi yang melibatkan agensi persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, badan penguatkuasa, dan pihak berkepentingan industri.
“CCC mengulangi keperluan untuk garis panduan nasional yang seragam, rangka kerja pelesenan yang lebih jelas, koordinasi antara agensi yang lebih kukuh, dan komunikasi yang lebih konsisten antara penggubal dasar dan pihak berkepentingan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Isu itu dibangkitkan dalam “Perbincangan Meja Bulat mengenai Keberkesanan Pelaksanaan Akta 852 dan Hala Tuju”, yang dikendalikan Penganalisis Kanan Dasar CCC, Bill Wirtz serta Penasihat Kanan Dasar Cukai KPMG Malaysia, Dr. Veerinderjeet Singh.
Dalam pada itu, kata Bill, pelaksanaan dasar yang tidak seragam itu membuka ruang kepada ketidaktentuan dalam pasaran selain memberi kelebihan kepada pihak tidak bertanggungjawab.
Katanya, situasi itu turut menyebabkan dasar sukar diramal serta menjejaskan keyakinan terhadap keberkesanan rangka kawal selia jangka panjang.
“Kepastian kawal selia adalah kritikal bukan sahaja untuk perniagaan, tetapi juga untuk penguatkuasaan yang berkesan dan kredibiliti dasar jangka panjang. Persekitaran pelaksanaan yang terpecah-pecah lebih menguntungkan pengusaha haram berbanding perniagaan yang patuh.
“Masalah timbul apabila dasar kerap berubah, penguatkuasaan berbeza mengikut bidang kuasa, dan hala tuju kawal selia jangka panjang kekal tidak pasti,” katanya.
Sementara itu, Dr. Veerinderjeet Singh menegaskan kepentingan proses rundingan serta penggubalan dasar secara bersama bagi memastikan sesuatu peraturan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Saya menyokong hakikat bahawa dasar sepatutnya digubal bersama. Perkara ini sedang berlaku di Malaysia pada tahap tertentu antara pihak perniagaan, kumpulan kepentingan dan penggubal dasar. Itulah sebabnya proses rundingan adalah penting.
“Masalah timbul apabila dasar kerap berubah, penguatkuasaan berbeza mengikut bidang kuasa dan hala tuju kawal selia jangka panjang kekal tidak pasti,” katanya. – UTUSAN










