AS sekat perdagangan minyak ketenteraan Iran

AS sekat perdagangan minyak ketenteraan Iran

KAPAL pemusnah USS Rafael Peralta melaksanakan sekatan maritim terhadap kapal tangki minyak berbendera Iran, Herby, ketika cuba belayar menuju pelabuhan Iran.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) pada Khamis mengumumkan pelaksanaan sekatan ekonomi baharu yang menyasarkan aktiviti perdagangan minyak ketenteraan Iran.

Tindakan itu diambil ketika Washington dan Teheran dilaporkan telah mencapai persetujuan tentatif untuk melanjutkan tempoh gencatan senjata serta menarik balik sekatan laluan perkapalan di Selat Hormuz.

Jabatan Perbendaharaan AS memaklumkan bahawa pihaknya telah mengenakan sekatan ke atas lapan buah kapal tangki yang terlibat dalam mengangkut minyak mentah dan produk petroleum Iran ke pasaran global.

Antara kapal yang disenarai hitam termasuklah kapal tangki minyak berbendera Kepulauan Marshall, Flora; kapal tangki minyak mentah berbendera Comoros, Hauncayo; serta kapal tangki berbendera Panama, Ill Gap.

“Kami tidak akan membiarkan kerajaan Iran meningkatkan hasil pendapatan minyak mereka bagi tujuan membina semula angkatan tentera dan keupayaan ketenteraan mereka,” tegas Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent dalam satu kenyataan media.

Setakat ini, Presiden AS Donald Trump dilaporkan masih belum meluluskan perjanjian gencatan senjata berhubung perang berkenaan yang dicetuskan oleh serangan AS dan Israel pada 28 Februari lalu.

Konflik berdarah itu telah menjejaskan pasaran global ekoran penutupan selat strategik di antara Iran dan Oman yang kebiasaannya menjadi laluan bagi 20 peratus bekalan minyak dan gas dunia.

Selain kapal tangki, AS turut mengenakan sekatan ke atas lebih 15 entiti korporat. Antaranya termasuklah Worth Seen Energy Limited yang berpangkalan di Hong Kong, Symphony Shipping and Maritime Management Inc di Dubai serta Mehdiyev Trading Co yang juga beroperasi di Hong Kong.

Menurut Jabatan Perbendaharaan AS, beberapa entiti Iran yang disekat itu dikesan menggunakan infrastruktur jualan minyak milik angkatan tentera Iran untuk memperoleh produk petroleum dari luar negara.

Sebagai contoh, syarikat Worth Seen didakwa memperoleh produk petroleum bertapis untuk Perbadanan Minyak Kebangsaan Iran (NIOC) bagi pihak Sepehr Energy Jahan, iaitu sayap jualan minyak milik Staf Am Angkatan Tentera Iran yang sebelum ini telah pun dikenakan sekatan oleh AS. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN