Layanan lima bintang buat tetamu Allah - Utusan Malaysia

Layanan lima bintang buat tetamu Allah

Tetamu Allah laksana ibadah dalam aman dan tenteram
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAFINA RAMLI

Ibadat haji adalah salah satu rukun Islam yang wajib ditunaikan oleh setiap Muslim, lelaki dan perempuan apabila cukup syarat-syaratnya.

Menurut jumhur ulama fardu haji mula diwajibkan pada tahun keenam Hijrah kerana pada tahun itulah turunnya wahyu Allah SWT yang bermaksud: Dan tunaikan atau sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah. (al-Baqarah: 196)

Buat julung kalinya, ibadat haji pada tahun ini menjadi satu sejarah dalam peradaban Islam moden, apabila ia dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.

Malah, jumlah jemaah haji yang sebelum ini mencapai 2.5 juta juga dihadkan iaitu dikatakan kira-kira 1,000 sahaja sehingga ramai antara umat Islam yang mencemburui mereka yang terpilih menunaikan rukun Islam kelima itu.

Daripada mereka yang terpilih itu, sembilan rakyat Malaysia yang bermastautin di Arab Saudi menjadi antara duyufurahman tahun ini.

Menceritakan pengalaman menunaikan haji pada tahun ini, penuntut Sarjana Fiqh di Universiti Islam Madinah, Musthafa Muadz Mohammad Masruh, 30, menyifatkan pengalamannya paling istimewa.

Pernah menunaikan ibadat haji sebelum ini, katanya, tahun ini menyaksikan bagaimana kerajaan Arab Saudi bersungguh-sungguh menjaga kebajikan para jemaah dengan memastikan keselamatan dan kesihatan kesemua jemaah terjamin.

“Ibadat haji tahun ini amat teratur, efisien dalam keadaan amat tenang serta tenteram, tanpa adegan bersesak-sesak malah anggota polis sentiasa mengawal rapi pergerakan jemaah.

“Kesemua tetamu Allah disantuni dengan layanan terbaik daripada kerajaan Arab Saudi bermula daripada tempoh kuarantin di rumah kami, kuarantin di Hotel Four Point by Sheraton sehingga jemaah tamat ibadat haji,” katanya.

Musthafa Muadz yang menjadi mahram adik perempuannya, Maryam Munirah menceritakan, ketika kesemua jemaah haji sampai ke kota Mekah pada 25 Julai.

Setiap jemaah ditempatkan di bilik suite dengan segala kemudahan termasuk makanan disediakan oleh kerajaan Arab Saudi.

“Makanan jemaah pula sangat bersih dan disediakan oleh Penerbangan Saudi.

“Sepanjang kuarantin kesemua jemaah Malaysia mengambil insiatif menambah ilmu haji menggunakan aplikasi Zoom setiap hari sehingga selepas Maghrib malam, 28 Julai,” ujarnya.

Beliau yang pernah bertugas sebagai penterjemah di Madinah berkata, ibadat haji kali ini dilalui jemaah dengan keadaan yang amat berbeza.

Penjarakan fizikal jemaah amat dijaga dan setiap jemaah perlu menggunakan hand sanitizer ketika naik serta turun daripada bas.

Selain itu, jelasnya, bagi menjaga keselamatan kesihatan jemaah, pelitup muka juga perlu diganti setiap naik turun bas dan bagi setiap kumpulan, hanya terdapat 16 hingga 20 orang jemaah.

“Bagi memastikan pergerakan jemaah terkawal dan teratur, seorang ketua kumpulan dilantik. Malah untuk memastikan kesihatan jemaah terjaga, seorang doktor juga diletakkan di dalam setiap kumpulan,” katanya.

Pengalaman menarik disantuni bak VVIP ketika menunaikan haji tahun ini juga dikongsi oleh seorang lagi jemaah Malaysia, Muhammad Uwais Mohd. Rosli, 25, yang terpilih mengerjakan ibadat itu pada saat-saat akhir.

“Awalnya haji kami sepatutnya berbayar, tetapi akhirnya Kerajaan Arab Saudi tanggung semuanya.

“Malah ada penerbangan percuma daripada setiap negeri untuk jemaah mengerjakan haji,” katanya.

Paling mengujakan, Kerajaan Arab Saudi juga menyediakan kemudahan lima bintang pada setiap tempat Masyair Haji (Arafah-Mina-Muzdalifah).

“Makanan yang tak putus-putus, belum sempat rasa lapar, makanan lain muncul.

“Batu untuk melontar jamrah turut dibekalkan dalam pek plastik kecil. Batu-batu tersebut juga telah disanitasikan,” katanya yang juga pengendali laman Facebook Madinah di Hati.I

 

Covid-19, antara anugerah dan ujian Allah

 

       Musthafa Muadz Mohammad Masruh dan adiknya, Maryam         Munirah bersyukur dapat menyempurnakan ibadat haji tahun ini

 

Berbeza dengan pengalaman yang pernah dilalui oleh Musthafa Muadz Mohammad Masruh, 30.

Baginya, perjalanan haji kali ini terkandung pelbagai anugerah dan juga ujian daripada Allah buat umat-Nya.

“Dijemput menjadi tetamu-Nya pada kali ini adalah anugerah namun ia juga adalah ujian buat saya, ujian untuk menjaga lisan dan perbuatan agar jauh daripada sifat riak dan ujub,” katanya.

Bercerita mengenai antara pengalaman terindah menunaikan haji tahun ini, peluang memasuki Masjid Namirah, di Arafah merupakan antara kenangan manis buat dirinya dan jemaah lain.

Musthafa Muadz berkata, selama sembilan tahun tinggal di Arab Saudi, dia tidak pernah berpeluang memasuki Masjid Namirah yang merupakan lokasi penting di dalam sejarah Islam di mana ia hanya dibuka sekali sahaja dalam setahun iaitu pada Hari Arafah.

“Tahun ini adalah yang paling istimewa buat jemaah haji, kerana kesemua jemaah dapat memasuki masjid itu untuk mendengar khutbah Arafah.

“Di masjid inilah, Nabi Muhammad SAW berkhutbah dan menunaikan solat Zuhur serta Asar secara jamak sebelum baginda SAW bergerak ke bawah Bukit Arafah yang lebih dikenal sebagai Jabal Rahmah untuk berdoa.

“Inilah antara pengalaman manis saya ketika menunaikan haji tahun ini,” katanya.

Tambahnya, Covid-19 benar-benar mengajar umat Islam termasuk para jemaah haji akan kebesaran dan kekuasaan Allah.

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN