JOHOR BAHRU: Kulai Iskandar Data Exchange (Kidex) di Sedenak dijangka mampu menarik pelaburan berjumlah RM17.5 bilion menerusi projek pengurusan data dan perkomputeran.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, selain itu projek berkenaan bakal menawarkan 1,600 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam bidang teknologi maklumat termasuk pekerja separuh mahir dan sokongan.
Beliau menjelaskan, Kidex yang dibangunkan di atas tapak seluas 301 hektar dimajukan oleh TPM Technopark Sdn Bhd (TPM Technopark) iaitu sebuah syarikat milik Johor Corporation (JCorp).
“Projek ini mampu menjadi pemangkin pertumbuhan industri data dan mengangkat Sedenak sebagai hab pusat data serantau pada masa depan.
“Dalam taklimat semasa lawatan saya ke Kidex baru-baru ini, sasaran pelabur adalah dalam kalangan pengusaha industri berkaitan pusat data, perkomputeran awan atau cloud computing,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Menurut Hasni, Kidex adalah komponen dalam pembangunan Kulai Industrial Park (KIP) yang melibatkan kawasan seluas 2,950 hektar dan merupakan hab data terkini di Malaysia dan dijangka menarik pelabur Revolusi Industri 4.0.
“Pembangunan yang bercirikan kemampanan dan kelestarian ini akan mempunyai tenaga mesra alam melalui Ladang Solar dan Loji Penghasilan Bersama sebagai sumber tenaga yang lestari.
“Kidex yang dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2023 berjaya menarik minat pelabur dari dalam dan luar negara, terutamanya China, United Kingdom dan Jepun yang telah datang membuat tinjauan tapak,” ujarnya.
Ujar Hasni lagi, Kidex turut mempunyai kelebihan daripada segi sokongan logistik dan perhubungan seperti Lebuh Raya Utara-Selatan, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dan terletak berhampiran Singapura. -UTUSAN ONLINE