Jangkitan ulangan Covid-19 selepas 3 bulan? - Utusan Malaysia

Jangkitan ulangan Covid-19 selepas 3 bulan?

NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Kementerian Kesihatan tidak menolak kemungkinan berlakunya kes berulang  Covid-19 membabitkan pesakit-pesakit pulih di negara ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, walaupun tiada bukti kukuh setakat ini, namun, kerajaan tidak boleh menolak terus kemungkinan tersebut.

Katanya, kes berulang akan bergantung kepada tindak balas antibodi individu yang terdedah kepada virus Covid-19 selepas tempoh tiga bulan setelah pulih.

“Kajian juga mendapati sebanyak 20 peratus imunisasi kekal pada antibodi seseorang dan berdasarkan laporan dari China, antibodi yang kekal akan berkurangan selepas lapan minggu.

 “Ini bermakna kita akan kehilangan 17 peratus antibodi dalam masa tiga bulan. Namun, statistik di Malaysia mencatatkan 20 peratus Immunoglobulin G (IgG) yang berkemungkinan boleh dijangkiti semula,” katanya dalam sidang akhbar perkembangan Covid-19, di sini semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas satu kes penularan melibatkan warga tempatan yang disaring di tempat kerja di Negeri Sembilan yang dikhuatiri mendapat jangkitan Covid-19 kali dua selepas pulang ke Malaysia pada Mei lalu.

Individu terbabit mempunyai sejarah bekerja di Indonesia dan dijangkiti virus berkenaan kali pertama di Indonesia yang kemudiannya dibenarkan pulang ke negara ini selepas pulih.

Noor Hisham berkata, kes tersebut masih dalam siasatan dan pihak kementerian sedang mengenal pasti sama ada individu terbabit berhubung dengan mereka yang pulang dari Indonesia atau terdedah dengan kes-kes positif sedia ada di negara ini.

Dalam perkembangan lain, kerajaan masih meneruskan aktiviti mengesan kontak rapat melibatkan Kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Sivagangga dan Kurau di empat negeri di utara iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Jelasnya, siasatan yang dijalankan melalui aktiviti pengesanan kes secara aktif dan juga saringan ke atas kontak rapat sebahagian besarnya berpunca dari aktiviti kunjung-mengunjung semasa musim perayaan Aidiladha baru-baru ini.

Katanya, kebanyakan kes positif bagi kedua-dua kluster tersebut terdiri daripada ahli keluarga, golongan warga emas dan kanak-kanak dalam lingkungan dua hingga 70 tahun.

Tambah beliau, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (TEMCO) yang bermula 8 Ogos lalu di beberapa kawasan membantu kerajaan dalam mengesan kontak rapat.

“Apa yang penting kita pertingkatkan lagi aktiviti kawalan menggunakan kaedah kesihatan awam. Kita rasa dalam tempoh seminggu kita boleh mengawalnya,” jelas beliau. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya