Hamzah nafi 'beli' wakil rakyat Sabah - Utusan Malaysia

Hamzah nafi ‘beli’ wakil rakyat Sabah

HAMZAH ZAINUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin menafikan tohmahan yang mendakwa beliau ‘membeli’ wakil rakyat di Sabah.

Jelasnya, segala bentuk tohmahan itu perlu dihentikan segera memandangkan kelakuan tersebut hanya menyebabkan rakyat semakin hilang percaya terhadap seseorang.

“Kadang-kadang, jika sudah sampai waktu umur tua, tidak payahlah buat tohmahan. Tidak elok.

“Kita kadang-kadang kena kaji juga berapa (lama) lagi kita nak tinggal. Jadi, jika buat tohmahan yang bukan-bukan akan berdosa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2019 dan Majlis Jasamu Dikenang Jabatan Imigresen, di sini semalam.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud.

Semalam, bekas Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika berucap mengumumkan parti baharu yang ditubuhnya dengan nama Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) merujuk kepada Hamzah yang didakwa sanggup membayar wakil rakyat di Sabah bagi menyokong Bersatu.

Tegas Hamzah, beliau tidak pernah mengeluarkan duit untuk menarik sokongan wakil rakyat di Sabah, sebaliknya mendedahkan terdapat beberapa ahli Bersatu yang menerima panggilan dan dijanjikan dengan pelbagai perkara.

“Saya hendak maklumkan yang saya tidak pernah bagi sesiapa pun dan siapa yang bagi saya tidak tahu, sebab itu saya tidak mahu menuduh orang.

“Saya mahu maklumkan bahawa ketika kita berbincang dalam Parlimen Mei lalu, terdapat sesetengah ahli Bersatu dihubungi oleh mereka dan dijanjikan macam-macam. Sama sahaja perangai, cakap lain tetapi buat lain,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, beliau meminta rakyat memberi tumpuan kepada langkah-langkah yang diambil oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam memastikan negara lebih maju pada masa hadapan.

“Hari ini kita ada seorang Perdana Menteri yang berjaya menangani masalah pandemik Covid-19, yang telah melihat segala masalah yang ada supaya dapat kita pastikan isu-isu berkaitan rakyat dapat diselesaikan.

“Apa Perdana Menteri buat sekarang bersama ahli-ahli Kabinet ialah menyusun untuk memastikan kita akan lebih maju di hadapan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yakin calon Perikatan Nasional, Mohd. Zaidi Aziz akan menang besar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim menentang calon bebas di bawah parti Pejuang, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi pada  29 Ogos ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya