Covid-19: 9,502 usahawan IKS Kedah terjejas - Utusan Malaysia

Covid-19: 9,502 usahawan IKS Kedah terjejas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sebanyak 9,502 peniaga membabitkan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) serta peniaga kecil di negeri ini terjejas akibat Covid-19 sejak Mac lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Firdaus Ahmad berkata, kaji selidik yang dilakukan SME Corporation Malaysia mendapati 97.9 peratus daripada responden mengalami kerugian sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun, menurutnya, kerajaan negeri melaksanakan beberapa inisiatif membantu peniaga terbabit melalui Unit Pembangunan Usahawan Kedah (UPUK) seperti penangguhan bayaran balik Skim Mikro Kredit Negeri Kedah selama enam bulan kepada 20 usahawan yang layak.

“Kerajaan negeri juga memperkenalkan Skim Pinjaman Mikro Kredit Pasca Covid-19 dan sebanyak 130 permohonan baharu diterima serta diproses,” katanya dalam Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kedah (DUN) di sini hari ini.

Mohd. Firdaus (Bersatu-Kuah) menjawab soalan Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Bebas-Jitra) berkaitan inisiatif yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Kedah untuk membantu usahawan yang terjejas akibat Covid-19.

Selain itu, kata Mohd. Firdaus, melalui Skim Dana Teraju pula, kerajaan negeri memberi insentif Geran Dana Teraju berjumlah RM3,000 kepada 27 usahawan yang layak melibatkan implikasi kewangan RM81,000.

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil langkah pengurangan sehingga 50 peratus kadar sewaan ruang niaga di semua daerah.

“Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) turut memberi pengecualian selama tiga bulan untuk premis di bawah kendalian mereka di Halal Park, Ukir Mall dan Central Square,” katanya.

Selain itu, tambahnya, sebanyak 40 inisiatif melibatkan peruntukan RM35 bilion disediakan oleh kerajaan untuk membantu golongan terbabit. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.