Bekas polis terima rasuah didenda RM70,000, penjara 14 tahun - Utusan Malaysia

Bekas polis terima rasuah didenda RM70,000, penjara 14 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman denda RM70,000 dan penjara 14 tahun terhadap seorang bekas koperal polis kerana kesalahan menerima rasuah sebanyak RM13,000 tujuh tahun lalu.

Hakim Murtazadi Amran menjatuhkan hukuman itu terhadap Shamsul Shahrul Samsudin, 38, yang mengaku bersalah atas dua pertuduhan menerima suapan daripada seorang wanita sebagai dorongan melepas dan menurunkan seksyen pertuduhan ke atas suaminya daripada Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kepada Seksyen 12 akta yang sama. 

Bagi pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM40,000 dan penjara lapan tahun  manakala pertuduhan kedua dijatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM30,000.

Bagaimanapun hukuman penjara itu diperintah berjalan serentak mulai hari ini, selain tertuduh perlu menjalani tambahan setahun lagi penjara jika gagal membayar denda yang dijatuhkan bagi setiap pertuduhan itu.

Tertuduh yang ketika itu bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah menerima rasuah tersebut di hadapan sebuah kedai di Mergong di sini pada 14 Jun 2013.

Dia didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama. 

Sementara itu, pertuduhan kedua pula, tertuduh menerima rasuah RM5,500 daripada wanita yang sama sebagai dorongan melepas dan menurunkan seksyen pertuduhan ke atas suaminya daripada Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kepada Seksyen 12 akta yang sama.

Wanita berkenaan memasukkan wang itu ke dalam akaun tertuduh menerusi mesin deposit tunai (CDM) di Bank Rakyat Cawangan Mergong, Pusat Perniagaan Tuanku Hamimah, Mergong di sini kira-kira pukul 1.03 tengah hari pada 26 Julai 2013.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Tan Sew Ping manakala tertuduh pula tidak diwakili peguam. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya