KUALA LUMPUR: AMMB Holdings Bhd. (AmBank Group) mencatatkan penurunan keuntungan bersih sebanyak RM26.29 juta atau 6.72 peratus kepada RM365.17 juta dalam suku pertama berakhir 30 Jun lalu berbanding RM391.46 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Perolehan institusi kewangan itu turut menurun 7.35 peratus kepada RM2.21 bilion berbanding RM2.39 bilion tahun lalu.
Keuntungan bersih itu bagaimanapun meningkat berbanding RM247.54 juta yang direkodkan pada suku keempat tahun kewangan sebelum ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Ambank Group, Datuk Sulaiman Mohd. Tahir, sektor perbankan malah seluruh dunia sedang berhadapan dengan cabaran besar akibat penularan Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang membawa kepada penyusutan margin kepada bank.
Meskipun begitu, Sulaiman berkata, prestasi keseluruhan Ambank masih dalam keadaan terbaik menerusi pertumbuhan keuntungan bersih tahun ke tahun sebanyak 6.5 peratus.
“Kami juga terus mencatatkan pendapatan melebihi RM1 bilion bagi suku ini didorong oleh dagangan kukuh dan pendapatan pelaburan yang telah membantu mengurangkan impak penyusutan margin dan kerugian diterima akibat moratorium.
“Sebagai sebahagian daripada komitmen kami membantu pelanggan yang memerlukan, kami terus berhubung dengan mereka sejak PKP mula dilonggarkan bagi memahami keperluan pembiayaan dan menawarkan bantuan yang diperlukan,” katanya dalam kenyataan semalam. – UTUSAN ONLINE