500kg ikan kembung segar diagih penduduk Amanjaya - Utusan Malaysia

500kg ikan kembung segar diagih penduduk Amanjaya

BEBERAPA sukarelawan wanita membantu membungkus ikan kembung segar sebelum diagihkan kepada penduduk di Ambangan Heights,  Amanjaya di Sungai Petani, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Sebanyak 500 keluarga di Ambangan Heights, Amanjaya di sini yang menjalani perintah kuarantin Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (Temco) menerima sumbangan 500 kilogram ikan kembung segar.

Bekalan ikan segar itu disumbangkan oleh Ketua UMNO Bahagian itu, Datuk Shahanim Mohamad Yusuff.

Shahanim berkata, sumbangan tersebut adalah tanda prihatin pihaknya kepada penduduk Ambangan Heights yang terjejas.

“Saya dimaklumkan penduduk menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bekalan barang basah dalam tempoh Temco dan sumbangan ini diharapkan dapat membantu sebahagian daripada mereka,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kata beliau, bekalan ikan segar itu dibeli daripada nelayan di Pasar Bisik Kota Kuala Muda di sini sebelum dibungkus dan diagihkan kepada penduduk terlibat.

“Setiap rumah akan menerima sekilogram ikan kembung ini yang akan diagihkan pada petang ini,” ujarnya.

Shahanim berkata, proses pengagihan akan diuruskan UMNO Bahagian Merbok mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Kata beliau, usaha itu bukan sahaja dapat membantu meringankan beban penduduk Ambangan Heights, malah dapat membantu para nelayan yang berdepan dengan masalah lambakan ikan.

“Kita dapati hasil tangkapan ikan banyak ketika ini, namun bilangan peraih dan pemborong dari luar yang datang untuk membeli ikan tidak ramai menyebabkan lambakan ikan berlaku di Pasar Bisik Kota Kuala Muda.

“Perkara ini menyebabkan pendapatan nelayan juga turut terjejas, oleh itu saya mengambil pendekatan ini supaya dapat membantu kedua-dua belah pihak,” katanya.

Shahanim pada masa sama berharap ada lagi pihak lain yang tampil memberi bantuan kepada penduduk sepanjang tempoh Temco ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya