Saya seronok tanam padi - Rohani - Utusan Malaysia

Saya seronok tanam padi – Rohani

Eksekutif Bekalan, Kompleks Bernas Pering, Nordin Md. Akhir (kiri) memperkatakan sesuatu kepada Rohani Ahmad dan Roslan Yahaya ketika meninjau kawasan tanaman padi di Kampung Pida 6, Jalan Sanglang, Kodiang, Kedah. UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KODIANG: “Kehidupan saya dengan sawah padi tidak boleh dipisahkan. Sejak berusia tujuh tahun, saya membantu ayah menanam padi di bawah terik matahari sambil bermain lumpur.”

Itu pengakuan seorang pesawah wanita, Rohani Ahmad, 54, dari Kampung Pida 6, Jalan Sanglang dekat sini ketika ditanya kisah hidupnya yang membesar dalam keluarga pesawah.

Rohani berkata, walaupun wanita lain mungkin lebih selesa bekerja di pejabat yang berhawa dingin, namun, dia berasa lebih seronok kalau dapat mengharungi kawasan yang menghijau dengan tanaman padi.

Dia yang bekerja sebagai kerani di pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Mada B2 Sanglang mengambil keputusan berhenti kerja kira-kira empat tahun lalu untuk memberi tumpuan sepenuh masa sebagai pesawah.

Ketika ini dia mengusahakan tanaman padi di sawah sendiri seluas 11 hektar.

“Saya percaya tidak ramai dalam kalangan wanita sekarang yang mahu melakukan kerja-kerja sawah,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Rohani yang mempunyai empat anak berusia 19 hingga 28 tahun berkata, setiap hari dia akan turut ke bendang untuk melakukan kerja-kerja menanam dan menjaga pokok padi.

Bagaimanapun, katanya, kerja-kerja berat seperti meracun dan membajak akan diserahkan kepada suaminya, Roslan Yahaya, 58, atau mengupah penduduk tempatan.

“Pada bulan pertama pokok padi ditanam, kerja-kerja memantau perlu dilakukan secara lebih kerap dan teliti seperti paras air, serangan penyakit dan serangan serangga perosak seperti bena perang, ulat serta siput gondang,” ujarnya.

Kata Rohani, pegawai-pegawai Padi Beras Nasional Berhad (BERNAS) sentiasa memberi nasihat dan galakan supaya dia sentiasa produktif dalam menghasilkan beras berkualiti.

Menurutnya, anggaran tuaian padi di sawahnya kira-kira 100 tan metrik setiap musim dihantar ke Kilang Beras BERNAS Pering di sini.

“Kilang beras BERNAS berdekatan dengan kawasan sawah padi yang saya usahakan, selain itu pegawai-pegawai di kilang beras BERNAS juga mengambil berat terhadap masalah-masalah dihadapi pesawah,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN