Projek RTS Johor Bahru-Singapura siap 2026 - Utusan Malaysia

Projek RTS Johor Bahru-Singapura siap 2026

Perdana Menteri,Tan Sri Muhyiddin Yassin (lima dari kiri) bersama Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong (empat dari kanan) pada Majlis Penyambungan Semula Projek RTS di tengah-tengah Tambak Johor di sini. hari ini . UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Projek Sistem Transit Rapid (RTS) menghubungkan Johor Bahru dan Singapura bakal dimulakan awal tahun depan dan dijangka siap  akhir tahun 2026.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, projek yang menelan kos hampir RM10 bilion dengan Malaysia membayar  RM3.7 bilion  akan dibina menerusi dua fasa. 

Katanya, fasa pertama melibatkan kerja pembinaan awam selama empat tahun diikuti pembinaan sistem untuk dua tahun. 

“Ini merupakan satu projek yang mendesak dan merupakan keperluan bagi mengurangkan kesesakan di Tambak Johor. 

“Mengambil kira situasi itu, kedua-dua kerajaan menyatakan komitmen untuk memastikan projek ini berjalan mengikut jadual,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Apabila siap, RTS yang melibatkan jarak  empat kilometer itu mampu menampung 10,000 penumpang bagi setiap perjalanan dengan maksimum 288,000 penumpang sehari. 

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong memuktamadkan pelaksanaan semula projek RTS yang ditangguhkan sejak 1 April tahun lalu. 

Majlis tersebut berlangsung secara simbolik dengan kedua-dua pemimpin bertemu di tengah-tengah Tambak Johor  kira-kira 15 minit. 

Bagaimanapun, Ka Siong berkata, kedua-dua pihak  belum menetapkan harga tambang bagi perkhidmatan RTS namun kerajaan akan mengambil kira kepentingan rakyat. 

“Harga tambang diumumkan apabila projek hampir siap. 

“Namun kita akan mengambil kira kepentingan rakyat termasuk golongan B40 dalam menetapkan harga tambang,” ujarnya. 

Beliau turut berkata, projek RTS itu juga melibatkan pembinaan dua Kompleks Imigresen dan Kastam (CIQ) masing-masing di Bukit Chagar, Johor Bahru dan Woodlands di Singapura. 

“Pemeriksaan imigresen dan kastam buat penumpang hanya akan dibuat sekali iaitu di terminal pelepasan penumpang. 

“CIQ di Bukit Chagar  turut menempatkan ruang komersil serta kira-kira 1,500 kawasan letak kenderaan bagi kegunaan orang ramai,” ujarnya. 

Pembinaan projek RTS turut melibatkan sebuah depoh di Wadi Hana di sini yang akan diselia secara bersama kedua-dua pihak berkuasa Malaysia dan Singapura. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya