Penduduk Kuala Tekai minta jambatan baharu - Utusan Malaysia

Penduduk Kuala Tekai minta jambatan baharu

Seorang penduduk,Ishak Kassim menunjukkan jambatan kayu di Kampung Kuala Tekai, Kuala Nerang yang daif dan perlu diganti dengan jambatan baharu. - UTUSAN / SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERANG: Penduduk di Kampung Kuala Tekai di sini mendesak kerajaan membina jambatan baharu bagi menggantikan jambatan kayu Titi Padang Tok Khamis yang rosak dan bahaya.

Mereka mendakwa, ramai penunggang motosikal yang melalui jambatan sepanjang kira-kira 300 meter terjatuh kerana kayu jambatan patah.

Jambatan berusia kira-kira 70 tahun itu laluan alternatif lebih 500 penduduk yang menghubungkan Kuala Tekai dengan Kampung Bukit Buluh dan KEDA Bukit Kura di sini.

Seorang penduduk, Noreda Ahmad, 41, berkata, dia terjatuh daripada motosikal selepas melanggar kayu patah di atas jambatan pada pukul 6.50 petang kelmarin.

Dia yang cedera ringan akibat dihempap motosikal berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan dari Kuala Tekai ke rumahnya di Kampung Bukit Buluh.

Tiga jam selepas kejadian menimpa Noreda, seorang lagi penunggang motosikal turut terjatuh di atas jambatan tersebut.

“Saya harap jambatan kayu itu dapat diganti baharu untuk mengelakkan kemalangan lebih buruk,” katanya di sini semalam.

Seorang penduduk, Abdul Wahab Ahmad, 72, jambatan itu selalu sibuk pada waktu pagi kerana penduduk menghantar anak ke sekolah dan ke tempat kerja.

“Walaupun nampak masih kukuh, ada beberapa kayu telah patah dan penunggang motosikal perlu berhati-hati semasa melaluinya,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pedu, Mohd. Radzi Md. Amin, berkata, beliau telah membuat lawatan selepas mendapat aduan penduduk dua minggu lalu.

“Insya-Allah sebuah jambatan baharu akan dibina bagi menggantikan jambatan kayu rosak ini,” katanya. –  UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya