MADRID 6 Okt. – Jurulatih Barcelona Ernesto Valverde yakin gandingan semula Lionel Messi dan Luis Suarez mampu memantapkan lagi pasukannya, sekali gus memperbaiki prestasi mereka yang agak terumbang-ambing.
Barca akan melayani kunjungan Sevilla esok (pukul 3 pagi waktu Malaysia) dalam saingan La Liga bagi memburu kemenangan keempat berturut-turut selepas menumbangkan Villarreal dan Getafe, sebelum menundukkan Inter Milan pada aksi Liga Juara-Juara Rabu lalu.
Suarez menjaringkan dua gol sewaktu menentang Inter, termasuk salah satunya hasil bantuan Messi, yang memulakan perlawanan buat kali kedua musim ini di Camp Nou ekoran masalah kecederaan.
Suarez juga sebelum itu bergelut dengan kecederaan betis Ogos lalu. Menerusi gandingan tersebut, mereka telah meledak 76 gol untuk Barcelona musim lalu.
“Mereka sudahpun pulih. Kedua-duanya sangat penting bagi kami. Sebelum ini mereka terpisah kerana masalah kecederaan, namun kini mereka sudah bergandingan semula.
“Ini adalah perkara yang paling mustahak,” kata Valverde dalam sidang akhbar selepas perlawanan tersebut.- AFP











