BAGAN SERAI 3 Okt. – Seorang wanita warga emas menjadi mangsa samun seorang lelaki yang menumpang bersembahyang di rumahnya di sini baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Omar Bakhtiar Yaacub berkata, kejadian berlaku pada 22 September lalu ketika mangsa yang berusia 78 tahun didatangi seorang lelaki bermotosikal ke rumahnya untuk menumpang bersembahyang.
Menurutnya, mangsa bermurah hati memberikan suspek sehelai kain pelekat kerana lelaki berseluar pendek.
“Ketika kejadian, mangsa berada seorang diri di rumah. Selepas selesai solat, suspek meragut rantai emas yang dipakai mangsa dan mangsa kerugian RM500.
“Mangsa tidak mengalami kecederaan dan suspek melarikan diri dengan menaiki motosikal,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurutnya, susulan kejadian tersebut, polis berjaya menahan seorang lelaki pada 29 September lalu.
“Suspek berusia 24 tahun mengaku telah datang ke rumah mangsa pada waktu petang dan kemudiannya pada malam hari yang sama suspek datang semula dan menyamun mangsa,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan samun tanpa senjata api.
Sementara itu, polis berjaya menyelesaikan kes pecah masuk Pejabat Peladang dan Pertanian Kerian yang melibatkan kehilangan peralatan pertanian termasuk kompresor dan racun dengan kerugian sebanyak RM45,000.
Omar Bakhtiar berkata, kes berjaya diselesaikan ekoran penahanan berasingan enam suspek pada 18 sehingga 20 September lalu.
“Suspek merupakan anggora Geng Badau dan soal siasat berjaya menemukan semula barang yang telah dicuri,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 475 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE











