KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Afieq Shazwan meluahkan kebimbangan terhadap penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang berpotensi mencetuskan fitnah, khususnya apabila wajah seseorang digunakan untuk menghasilkan kandungan yang tidak pernah dilakukan atau dilalui individu terbabit.
Menurut Afieq, perkembangan teknologi AI yang semakin pesat membuka ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab untuk memanipulasi imej seseorang, termasuk menghasilkan kandungan berunsur sensitif menggunakan wajah selebriti.
Katanya, perkara itu bukan sahaja boleh menjejaskan reputasi seseorang, malah lebih membimbangkan apabila kandungan berkenaan dipercayai oleh orang ramai yang kurang arif mengenai teknologi AI dan kaedah suntingan digital.
“Saya sendiri tidak lari daripada perkara itu, apabila orang mungkin menggunakan muka saya untuk barang-barang tertentu. Cuma saya tak pernah nampak lagi, mungkin benda itu belum tersebar luas.
“ Tetapi pernah jugalah saya melihat sesuatu yang agak menyinggung perasaan apabila saya tak pernah bergambar tanpa berpakaian atau hanya berpakaian seadanya, tetapi ada orang sunting sampai ke tahap itu.Benda itu membuatkan saya rasa ia berbahaya kerana orang boleh percaya benda itu betul.
“Lebih-lebih lagi orang yang mungkin tidak mahir tentang AI dan teknologi ini. Saya risau orang seperti mak cik-mak cik atau mak kita sendiri boleh percaya benda itu.Contohnya, mak saya kalau tengok mungkin akan tanya, ‘Kenapa kau buat macam ini?’, sedangkan saya tak buat pun.
“Jadi kepada yang buat perkara macam itu, tolonglah jangan gunakan AI ini untuk mendapat dosa percuma. Gunakan AI supaya mendapat pahala percuma. Mungkin kita boleh bantu orang untuk sampaikan mesej atau bantu orang dalam perkara yang baik. Contohnya nak buat lagu pun boleh, tidak ada masalah,” katanya.
Dalam masa sama, Afieq berpendapat AI seharusnya digunakan sebagai alat bantuan dan bukannya menggantikan sepenuhnya usaha serta ilmu manusia.
“Janganlah guna 100 peratus. Mungkin jadikan AI itu sebagai alat bantuan sahaja. Sebab selagi kita hidup di zaman moden ini, memang banyak benda yang memudahkan kita juga.
“ Tetapi jangan jadikan benda yang boleh memudahkan kita itu membunuh diri kita sendiri, menjadikan kita malas dan kita tidak mahu belajar lebih banyak lagi.
“Kita kena belajar juga, kita kena ada ilmu. Barulah kita boleh tahu benda ini hanya 50 peratus sahaja, manakala 50 peratus lagi adalah usaha kita sendiri,” katanya.
Afieq turut mengakui bimbang sekiranya wajahnya suatu hari nanti dimanipulasi untuk menghasilkan kandungan berunsur seksual atau perkara lain yang boleh menjejaskan nama baik serta keluarganya.
Menurutnya, perkara berkenaan boleh menjadi lebih serius memandangkan reputasi yang dibina dalam industri hiburan merupakan sebahagian daripada sumber rezekinya.
“ Ya, saya risau kerana saya belum ada anak, saya belum ada isteri, tetapi suatu hari tentu saya akan ada. Jadi benda-benda macam itu boleh menjadi jatuh fitnah. Air muka kita pun jatuh, nama keluarga, nama yang kita bina dalam industri, sedangkan inilah tempat kita cari makan.
“Tetapi kerana hanya benda itu, ia boleh membuatkan kita jatuh fitnah. Jadi saya harap banyak pihak tidak menggunakan ataupun menyalahgunakan teknologi yang ada pada zaman sekarang.
“Tetapi sekiranya berlaku, saya akan cuba sebaik mungkin untuk memberitahu kepada khalayak orang ramai bahawa itu bukan diri saya,” katanya.
Bagaimanapun, Afieq sedar persepsi masyarakat bukan sesuatu yang mudah dikawal apabila sesuatu kandungan palsu sudah tersebar.
Katanya, dalam keadaan media sosial yang membolehkan maklumat tersebar dengan pantas, seseorang mungkin berdepan pelbagai tuduhan walaupun perkara tersebut tidak pernah dilakukan.
“Biasalah, orang ada mulut, orang boleh bercakap. Ada yang mungkin kata, ‘Kau cakap kau tak buat, mungkin kau buat.’ Biasalah, benda itu memang kita hidup di zaman fitnah merata-rata.
“Tetapi bagi saya, selagi mana kita berdiri di tempat yang benar, kita tidak buat benda itu, kita beranilah,” katanya.











