BERLIN 3 Okt. – Jurulatih olahraga terkemuka dunia, Alberto Salazar digantung selama empat tahun atas kesalahan berkaitan doping dengan menjadikan atlet sebagai ‘tikus makmal’, kata Ketua Agensi Anti Doping Amerika Syarikat, Travis Tygart.
Kejohanan Olahraga Dunia yang sedang berlangsung di Doha, dikejutkan dengan skandal itu dan Salazar tidak dibenarkan terlibat dengan pertandingan itu.
Salazar bagaimanapun menafikan tuduhan itu dan akan mengemukakan rayuan.
Tygart berkata, atlet di bawah kendalian Salazar berada di bawah Nike Oregon Project (NOP) dan mereka tidak dimaklumkan mengenai bahan yang diberikan kepada mereka selain tidak pasti sama ada ia dibenarkan atau sebaliknya.
Katanya, pendekatan yang digunakan Salazar dan doktor di bawah NOP adalah tidak boleh diterima.
“Atlet tidak tahu apa yang diberikan sama ada ia bahan terlarang atau sebaliknya.
“Mereka dihantar kepada doktor dan diarahkan untuk mengikut arahan.
Tygart juga berharap Nike akan mempertimbangkan semula kerjasama mereka bersama Salazar.
“Saya harap skandal ini akan menyedarkan Nike,” katanya.-AFP











