Jalan perhubungan Orang Asli rosak - Utusan Malaysia

Jalan perhubungan Orang Asli rosak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG 8 Okt. – Lebih 500 penduduk Orang Asli suku Temiar di Pos Belatim di sini menghadapi kesukaran apabila jalan balak yang menjadi penghubung utama mereka ke bandar ini rosak teruk sejak dua bulan lalu.

Penduduk Orang Asli yang menunggang motosikal melalui jalan balak berselut dan berlumpur di Pos Belatim, Gua Musang

Ekoran daripada itu, ibu bapa di kawasan itu bimbang masalah itu akan turut menjejaskan persekolahan anak mereka sekiranya kerosakan jalan tidak dibaiki segera.

Memuatkan artikel berkaitan…

Seorang penduduk Orang Asli Pos Belatim, Ali Angah, 36, berkata, masalah kerosakan jalan itu bukan perkara baharu dihadapi penduduk kampung terbabit.

Katanya, kerosakan jalan sejauh 10 Kilometer melalui Kampung Peng, Pos Belatim ke Pos Balar semakin serius apabila pernah berlaku kejadian kenderaan pacuan empat roda terbalik.

“Dalam tempoh lapan bulan tahun ini sudah beberapa kali berlaku kejadian kenderaan pacuan empat roda terbalik ketika dalam perjalanan mengambil anak-anak kami untuk bersekolah ke Sekolah Kebangsaan Balar.

“Namun kami bernasib baik kerana tidak ada anak-anak kami yang mengalami kecederaan,” katanya di sini hari ini.

Ali berkata, penduduk juga risau setiap kali musim tengkujuh apabila jalan semakin rosak teruk, berselut dan licin.

Katanya, penduduk yang menunggang motosikal untuk ke bandar ini juga kerap terlekat dalam jalan berlumpur itu sehingga mengambil masa lama untuk sampai ke destinasi.

Seorang lagi penduduk Orang Asli, Anjang Busu, 40, berkata, masalah kerosakan jalan yang dihadapi itu menjejaskan kehidupan harian penduduk.

Katanya, mereka tiada pilihan apabila terpaksa melalui jalan rosak itu untuk perjalanan ke bandar bagi membeli barangan keperluan.

“Kita berharap pihak kerajaan mengambil perhatian terhadap masalah dihadapi Orang Asli di kampung ini dan membaiki segera jalan yang rosak,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan menerima aduan berkenaan kerosakan jalan di kampung itu.

Katanya, beliau sebelum ini sudah meninjau kerosakan jalan di kawasan itu dan anggaran perbelanjaan sebanyak RM50,000 diperlukan untuk membaikinya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×