Bagi peminat dan kaki wayang, pastinya anda ingin merasai kepuasan menonton wayang dengan sudut pandang yang lebih luas tanpa menjejaskan fokus pada skrin utama di hadapan.
Dengan teknologi canggih dan terkini, pelbagai strategi dilakukan oleh pihak pengurusan panggung wayang dalam menarik penonton untuk merasai pengalaman berbeza dan menyeronokkan ketika menonton filem kegemaran mereka.
Atas sebab itu, Golden Screen Cinema (GSC) telah memperkenalkan teknologi ScreenX yang memiliki panorama paparan skrin 270 darjah dan menjadi pawagam pertama yang mempunyai teknologi itu di Malaysia.
Teknologi ScreenX membawa penonton memancarkan tiga skrin secara serentak iaitu satu di hadapan dan dua di sisi membuatkan penonton berasa seperti berada di dalam filem tersebut.

Kini, teknologi ScreenX boleh didapati secara eksklusif di teater utamanya di pusat beli-belah 1 Utama, Petaling Jaya, yang menjanjikan penonton dimensi baharu dalam genre seram pada masa kemunculan semula filem IT Chapter Two.
Timbalan Ketua Pengurus Golden Screen Cinemas, Heng Beng Fatt berkata, sambutan yang diterima sangat memberangsangkan selain penonton melahirkan rasa kepuasan menonton filem dengan panorama skrin 270 darjah.
“Kami amat berbangga menjadi pawagam pertama di Malaysia menawarkan pengalaman filem berevolusi tinggi ini.
“Sambutan yang kami terima sejak ScreenX dilancarkan adalah sangat positif dan kami akan pastikan ia terus menawarkan keseronokan kepada penonton sekali gus merangsang pertumbuhan teknologi panggung wayang pada generasi akan datang,” ujarnya.

Perubahan
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CJ 4DPLEX, Jong Ryul-kim berkata, teknologi canggih ini mampu membawa satu perubahan besar dalam industri wayang negara ini yang mana penonton boleh merasai pengalaman seolah-olah berada dalam filem tersebut.
“ScreenX adalah satu pengalaman sinematik baharu dan pihak kami amat gembira membawa teknologi ini ke Malaysia melalui kerjasama bersama pihak GSC.
“Teknologi inovatif ini juga membolehkan penonton merasai pengalaman menakjubkan dan kami percaya bahawa kerjasama ini akan memberi peluang kepada revolusi landskap sinematik negara ini,” katanya.

Bagaimanapun, bukan keseluruhan filem akan dipancarkan di ketiga-tiga skrin kerana ia akan digunakan mengikut kesesuaian khususnya apabila terdapat babak panorama sahaja menjadikan fokus utama tetap pada skrin hadapan.
Selain skrin panorama 270 darjah, GSC ScreenX turut mempunyai kerusi jenis eco–leather yang lebih selesa berbanding di panggung biasa yang pastinya memberi keselesaan sempurna kepada penonton tanpa rasa sakit belakang.
ScreenX boleh dinikmati oleh semua pengunjung di GSC One Utama dengan harga tiket RM29.










