JEDDAH: Bekas juara dunia heavyweight dua kali, Anthony Joshua membuktikan semangat juangnya masih utuh apabila bangkit daripada dua kali dijatuhkan sebelum menumbangkan Kristian Prenga menerusi kemenangan knockout (KO) pada pusingan kedua dalam aksi penuh dramatik di Jeddah Superdome, semalam.
Kemenangan itu bukan sahaja menandakan kebangkitan Joshua selepas tempoh sukar dalam hidupnya, malah membuka laluan kepada pertarungan yang sekian lama dinantikan menentang seorang lagi bekas juara dunia heavyweight, Tyson Fury yang dijangka berlangsung pada November ini.
Joshua, 36, membuat penampilan sulung sejak terbabit dalam kemalangan jalan raya di Nigeria pada Disember lalu yang meragut nyawa dua sahabat rapatnya, Sina Ghami dan Latif Ayodele.
Dia yang kelihatan sebak ketika ditemu bual selepas pertarungan berkata, kemenangan tersebut didedikasikan buat dua insan yang banyak memberi semangat kepadanya.
“Itu adalah semangat, itu adalah Latz, itu adalah Sina. Mereka adalah keluarga,” katanya.
Joshua turut mengakui tujuh bulan yang dilaluinya amat mencabar, namun percaya kekuatan mental membolehkannya bangkit selepas detik sukar pada awal pertarungan.
Aksi bermula dengan mengejutkan apabila Prenga dari Albania menjatuhkan Joshua menerusi pukulan uppercut kanan hanya 20 saat selepas loceng permulaan dibunyikan.
Lebih membimbangkan, Joshua sekali lagi tumbang pada penghujung pusingan pertama selepas diasak bertubi-tubi sehingga kelihatan hampir kehilangan imbangan.
Bagaimanapun, petinju dari Britain itu kembali tenang pada pusingan kedua apabila berjaya mengawal rentak pertarungan menerusi pukulan jab sebelum memerangkap Prenga di penjuru gelanggang.
Joshua kemudian melepaskan kombinasi pukulan deras yang diakhiri dengan pukulan kanan padu sehingga menghantar lawannya tercampak keluar melalui tali gelanggang, sekali gus memaksa pengadil menamatkan pertarungan pada minit 2:43 pusingan kedua.
Kemenangan itu menyaksikan rekod Joshua meningkat kepada 30 kemenangan dan empat kekalahan, dengan 27 daripadanya diraih menerusi kemenangan KO.
Dalam perkembangan sama, Fury turut mencatat kemenangan apabila menewaskan Mariusz Wach di Pattaya, Thailand, Jumaat lalu selepas sudut lawannya menghentikan pertarungan pada pusingan ketujuh.
Kejayaan kedua-dua petinju itu menguatkan lagi jangkaan bahawa pertarungan yang digelar “Battle of Britain” akhirnya bakal menjadi kenyataan hujung tahun ini.
Walaupun Fury tidak hadir menyaksikan aksi di Jeddah, Joshua tetap mengirim amaran kepada pencabarnya itu.
“Saya menghormati segala pencapaiannya, tetapi saya sudah lama mahukan pertarungan ini. Kini, masanya sudah tiba,” katanya. – AFP










