Lagu Teringin dihentam kerana lirik dianggap lucah - Utusan Malaysia

Lagu Teringin dihentam kerana lirik dianggap lucah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEHADIRAN saya ke majlis pelancaran album baharu kumpulan Hijjaz baru-baru ini telah mempertemukan dengan Lukhman S, seorang penulis lirik tersohor yang lagu-lagu ditulisnya hidup sehingga ke hari ini.

Lukhman atau nama sebenarnya, Lukhman Abdul Kadir, 61, hadir ke acara tersebut sebagai salah penulis lirik lagu Mati Itu Pasti, sebuah lagu yang terkandung dalam album yang dilancarkan secara rasminya baru-baru ini.

Saya meminta jurugambar merakamkan beberapa keping gambar Lukhman, kemudian baharulah memberanikan diri menyapa beliau untuk ditemuramah.

Lukhman yang pada awalnya merancang untuk beredar selepas sesi fotografi itu, menukar perancangan untuk memberikan peluang kepada saya menemu ramahnya.

Kata beliau, pertemuan kami itu adalah satu rezeki saya kerana kebiasaannya beliau tidak mahu ceritanya ditulis di mana-mana.

Banyak perkara yang dikongsikan Lukhman, dan banyak juga nasihat yang ditinggalkan oleh penulis lirik lagu itu yang sudah bertapak dalam industri selama lebih empat dekad ini.

Antara yang menarik minat saya adalah perkongsian Lukhman yang mengimbau detik penghasilan lagu Teringin yang dipopularkan penyanyi Shima, termasuk kontroversi apabila karya itu pernah dilabel sebagai lucah oleh seorang wartawan akhbar.

Lagu berkenaan pernah mencetuskan salah faham apabila liriknya ditafsirkan secara negatif oleh seorang wartawan.

“Ketika itu saya dihentam kerana dikatakan menghasilkan lirik lucah. Saya terus menghubungi editor akhbar berkenaan dan meminta untuk bertemu wartawan tersebut. Akhirnya kami berjumpa sambil makan rojak di Jalan Maarof. Saya jelaskan maksud sebenar lagu itu,” katanya.

Jelas Lukhman, Teringin sebenarnya mengisahkan pasangan yang telah bercerai tetapi masih menyimpan harapan untuk kembali rujuk, bukannya membawa maksud yang tidak senonoh.

“Lagu itu berkisar tentang orang yang sudah bercerai dan mahu kembali bersama.  Pada waktu itu, isu perceraian masih dianggap sesuatu yang agak asing dan jarang diketengahkan dalam lagu.

“Perkataan ‘teringin’ pula jika disalah tafsir memang boleh kedengaran lucah, sedangkan maksud sebenar langsung bukan begitu,” terangnya.

Menurut Lukhman, beliau pada mulanya dihubungi syarikat rakaman CBS Music, yang kini dikenali sebagai Sony Music, untuk menghasilkan lirik bagi sebuah lagu nyanyian penyanyi wanita.

“Ketika itu pihak syarikat rakaman hanya memaklumkan mereka mahukan saya menghasilkan lirik, tetapi identiti penyanyi dirahsiakan. Apabila lagu itu siap, barulah saya mengetahui penyanyinya ialah Shima. Saya anggap itu satu kebetulan yang diatur Tuhan,” katanya.

Mengenai lagu Purnama Merindu nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza, tersimpan falsafah kehidupan yang mendalam daripada penulis liriknya yang mengangkat hakikat bahawa manusia sering dinilai berdasarkan nama, pangkat dan harta.

Menurut Lukhman, idea menghasilkan lirik lagu itu tercetus daripada pemerhatiannya terhadap sikap masyarakat yang cenderung memandang seseorang apabila mereka memiliki kedudukan atau kemasyhuran.

“Orang suka melihat bulan penuh. Apabila saya menghasilkan lagu ini, saya perhatikan kalau kita tidak ada nama atau pangkat, tiada siapa yang akan pandang kita. Begitulah kehidupan. Kalau kita tidak ada harta atau nama, kita sering dipinggirkan,” ujarnya.

Bagaimanapun, Lukhman menjelaskan mesej sebenar lagu itu bukan mengenai kehidupan manusia semata-mata, sebaliknya mengajak pendengar kembali mengingati Allah sebagai tempat bergantung.

“Apabila kita mendengar bait-bait lagu itu, sebenarnya tiada tempat lain selain Allah. Siapa lagi yang sudi memujuk kita dan sentiasa ada bersama kita? Semuanya kerana Allah,” kongsinya.

Mengulas proses penghasilan karya itu, Lukhman berkata, beliau menerima melodi daripada komposer, Azmeer dan berusaha menghasilkan lirik yang benar-benar menyatu dengan karya berkenaan.

“Saya jenis orang, kalau bekerja dengan sesiapa, saya akan buat yang terbaik kerana saya menghargai penat lelah orang menghasilkan lagu dan muzik. Saya bukan sekadar menulis lirik. Saya akan meneliti setiap aspek. Lirik itu tidak mengambil masa lama untuk disiapkan kerana saya ini orang teliti.

“Yang mengambil masa adalah memperhalusi setiap butiran supaya lirik itu benar-benar ikhlas dan melengkapkan melodinya,” katanya.

Dalam pada itu, Lukhman berkata, sepanjang bekerjasama dengan syarikat rakaman, beliau tidak pernah memilih lagu untuk ditulis kerana diberikan kebebasan sepenuhnya.

Malah, beliau turut meminta kebenaran untuk hadir ke studio rakaman bagi mengikuti proses penerbitan lagu-lagu yang dihasilkannya.

“Saya akan minta izin untuk datang ke studio kerana saya mahu melihat sendiri proses rakaman. Cuma saya tidak dapat hadir ketika Siti merakamkan lagu ini, jadi saya serahkan sepenuhnya kepada Azmeer kerana saya yakin dengan kemampuannya. Apabila mendengar hasil akhirnya, saya sangat berpuas hati,” ujarnya.

Menurut Lukhman lagi, beliau percaya Purnama Merindu sememangnya telah ditakdirkan untuk dinyanyikan oleh Siti Nurhaliza.

“Sebenarnya Allah sudah tentukan lagu itu untuk Siti. Sejak awal lagi kami yakin lagu ini boleh pergi jauh dan Allah sudah mencampakkan keyakinan itu dalam hati kami,” jelasnya lagi.

SEKADAR DI PINGGIRAN

LAGU Sekadar Di Pinggiran, yang dipopularkan Francisca Peter mencatat lagi satu sejarah buat Lukhman apabila diangkat sebagai Juara Lagu bagi tahun 1986.

Lagu berkenaan cukup istimewa buat beliau kerana berkisar tentang perjalanannya ketika awak masuk ke dalam industri dahulu.

“Lagu itu benar-benar memberi kesan kepada saya. Saya menulis cerita saya sendiri, yang pada waktu itu merupakan budak hingusan dan naif yang masuk ke dalam industri seni.

“Ketika itu saya bukanlah sesiapa, dipandang sebelah mata. Namun kemenangan di AJL86 itu membuka mata ramai pihak.

“Apa yang menariknya, sampul hadapan album tersebut benar-benar tepat menggambarkan ketelitian saya terhadap lagu tersebut.

“Gambar itu diambil depan Merlin Hotel, sambil Francisca memegang bunga dan penglihatannya tersasar ke tempat lain,” ujarnya.

Lagu Ku Pendam Sebuah Duka, yang dipopularkan Datuk Khadijah Ibrahim pula menyimpan ceritanya tersendiri.

“Ia berkisar tentang perkahwinan yang tidak direstui oleh ibu mertua. Saya menulis berdasarkan pengamatan saya tentang masyarakat, walhal ketika itu saya belum berumah tangga,” ujarnya.

JANGAN LUPA ANAK YATIM, ORANG MISKIN

Lukhman diberikan bakat luar biasa dan kelebihan itulah yang mengangkat namanya di persada seni tempatan.

Namun, penulis ini kekal merendah diri dan jika diizinkan, tidak mahu terlalu mendedahkan siapa dirinya yang sebenar. Namun, lagu-lagu beliau terus malar segar dan meniti bibir pendengar berdekad lamanya, sehinggalah ke hari ini.

“Orang tanya saya, kenapa lagu-lagu yang saya hasilkan liriknya, meletup. Jawab saya, dalam hidup ini kita jangan lupa beberapa perkara. Iaitu orang miskin dan anak yatim. Sedekahlah kepada mereka. Santuni mereka. Kedua, jangan lupa untuk membayar zakat kerana ia membawa keberkatan kepada rezeki yang kita terima.

“Dan perbanyakkanlah bersedekah. Jika kita sentiasa bersedekah, nescaya Allah balas kebaikan kita dengan cepat. Kalau Allah tak bagi dalam bentuk wang ringgit, Dia beri kita kesihatan dan ketenangan serta kecukupan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN